malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis nak sahkan fakta komik BRI sebelum putuskan panggil penulis prakata
ADS

Polis akan menentukan sama ada akan mengambil keterangan individu yang menulis prakata komik "Inisiatif Jalur & Jalan (BRI) Meraih Manfaat Bersama" selepas mengesahkan beberapa kandungan di dalamnya dengan ahli akademik.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.

"Kita akan dapatkan pandangan beberapa ahli akademik dulu sebelum putuskan sama ada perlu ambil kenyataan pihak-pihak (yang menulis) prakata.

"Kita telah kena pasti beberapa ahli akademik yang dapat bantu (mengesahkan) sama ada (kandungan komik) bercanggah atau tidak dengan fakta sebenar," katanya.

Beliau ditanya berkenaan sama da polis akan memanggil sejumlah individu, termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang menulis prakata komik itu, seperti dibangkitkan bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini.

Selain Lim, empat lagi yang menulis prakata ialah Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Duta China ke Malaysia Bai Tian, penyanyi Auguste Wan, dan presiden Sunshine Beacon Limited (Hong Kong) Woo Swee Lian.

Setakat ini, polis telah mengambil keterangan empat individu berkenaan komik itu, iaitu penulis Hew Kuan Yau, kartunis Chong Po Ling, Pengurus Muzium Kebudayaan dan Komik Asia Raymond Chong dan seorang wakil daripada syarikat pencetak.

Antara kandungan yang menjadi pertikaian ialah isu Laut China Selatan dan etnik Uyghur di wilayah Xinjiang.

Ia antara lain menyifatkan orang Melayu yang menyokong etnik itu - yang dilaporkan ditindas kerajaan China - sebagai "radikal".

Lim enggan ulas

Sementara itu Lim enggan mengulas berkenaan komik kontroversi itu apabila ditanya pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, ini kerana beliau difahamkan pihak yang terlibat dengan penerbitannya, termasuk Hew, mahu mengambil langkah perundangan.

"Saya difahamkan masih ada proses perundangan yang dia (Hew) mahu ambil dan saya fikir mereka yang menulis buku itu akan mengikuti proses itu.

"Biar (proses perundangan) berjalan dulu sebelum saya buat apa-apa komen supaya tidak akan dianggap sebagai campur tangan," katanya lagi.

Lihat Komen