malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin PAS arah siapkan calon sokongan
Diterbitkan:  Oct 30, 2019 3:46 PM
Dikemaskini: 7:49 AM
ADS

PRK TG PIAI | PAS dilaporkan sudah memberi arahan untuk menyiapkan calon sendiri untuk diturunkan di Tanjung Piai menjelang penamaan calon pada 2 Nov ini.

Memetik kenyataan sumber yang tidak didedahkan, BH Online melaporkan, PAS berbuat demikian sebagai persediaan jika berlaku perkara di luar jangkaan seperti pencalonan pembangkang ditolak.

Kata sumber itu, PAS diminta kepemimpinan parti mengambil "langkah berjaga-jaga".

Tambahnya PAS sudah mengenal pasti anggota parti itu yang dirasakan layak serta berwibawa untuk dicalonkan bagi merebut tempat kerusi parlimen Tanjung Piai jika keadaan memerlukan.

“PAS sedang bersiap-sedia dan calon simpanan sudah diarah bersedia sebagai langkah berjaga-jaga.

“Segala kemungkinan boleh berlaku dan tiada yang mustahil apatah lagi jika berlaku isu teknikal membawa kepada pembatalan calon," katanya.

Sumber itu memberitahu PAS tidak mahu kesilapan teknikal menjejaskan peluang pembangkang mencabar PH, sekali gus membolehkan parti kerajaan menang percuma di situ.

Diputuskan pimpinan atasan

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah membatalkan beberapa pencalonan pada hari penamaan atas beberapa sebab teknikal, seperti kesilapan ejaan atau kesalahan kecil lain.

Bagaimanapun amalan itu tidak lagi berlaku sejak beberapa dekad lalu.

Untuk rekod PH sudah menamakan Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, sebagai calon untuk PRK berkenaan. BN pula - yang dipersetujui PAS untuk mencabar PH - belum menamakan calon pembangkang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan, mendakwa langkah menangguhkan pengumuman calon tersebut dibuat sebagai startegi BN menghadapi PH.

Tanjung Piai adalah kerusi tradisi MCA. Pada PRU lalu calon PH, Mohd Farid Md Rafik, memenangi kerusi majoriti Melayu itu dengan mengetepikan penyandang, Wee Jeck Seng, dengan kelebihan 524 undi.

Umno membayangkan untuk meletakkan calon Melayu di situ tetapi MCA juga kelihatan bertegas mahu wakil mereka dikekalkan bertanding di Tanjung Piai.

Kelewatan mengumumkan nama calon dianggap sesetengah pihak melambangkan kesukaran Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, memutuskan calon bagi PRK tersebut.


Baca BN perlu letak calon MCA di Tg Piai - Presiden MIC


PAS pula sebelum ini dilaporkan tidak keberatan menyokong sesiapa saja calon pembangkang.

Ditanya kemungkinan PAS akan tetap meletakkan ahli mereka bertanding walaupun SPR menerima pencalonan BN, sumber terbabit enggan memberikan komen lanjut.

Menurut sumber PAS lagi, mereka diarah menyediakan calon simpanan dan akan menunggu arahan selanjutnya

“Kami diarahkan menyediakan calon simpanan sahaja.

"Jika terdapat arahan lanjut pada hari penamaan, ia hanya boleh diputuskan kepemimpinan tertinggi parti sahaja, ” katanya tanpa mendedahkan siapakah pemimpin yang memberikan arahan berkenaan.

Lihat Komen