malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis mahu hukuman lebih keras pada pedagang haram hidupan liar
ADS

Polis mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri agar memasukkan hukuman sebat terhadap pihak yang terlibat dalam perdagangan haram hidupan liar.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata hukuman yang sedia ada tidak cukup tegas.

"Hukuman yang kita ada sekarang agak lembut, jadi saya telah berbincang dengan Jabatan Perhilitan dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengenai hukuman yang lebih keras.

"Kami akan mengemukakan cadangan ini kepada kementerian, jika ia dimasukkan dalam undang-undang, ia akan menjadi penghalang yang berkesan.

"Selain itu, saya mencadangkan supaya denda digandakan dan tempoh hukuman penjara dipanjangkan," katanya kepada media di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Hamid mengadakan mesyuarat dengan Perhilitan dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk operasi bersama bagi memburu sindiket yang terlibat dalam perdagangan haram hidupan liar.

Timbalan Ketua Pengarah Perhilitan, Fakhrul Hatta Musa, yang hadir semasa persidangan itu, berkata hukuman semasa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] memberikan denda sehingga RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun.

Hamid berkata pihak berkuasa juga mengenal pasti kira-kira sedozen sindiket yang melibatkan orang asing yang secara aktif memburu hidupan liar yang terancam dan menyeludupnya ke luar negara.

"Saya juga menerima maklumat bahawa terdapat VVIP yang terlibat dalam memburu hidupan liar haram. Saya serius mengenai perkara ini.

"Sekiranya mereka ditangkap, saya akan pastikan mereka tidak akan terkecuali dari pendakwaan," kata Hamid.

Hamid menambah: "Nasihat saya kepada VVIP ini, jangan menyumbang kepada kepupusan flora dan fauna. Mengapa anda begitu teruja untuk memakan daging haiwan eksotik .. mengapa anda bersaing dengan harimau dan beruang?"

Menjelaskan mengenai operasi yang lebih intensif, Hamid berkata beliau telah menyediakan pasukan penguatkuasa Jabatan Perhilitan dan Jabatan Perhutanan dengan dua batalion Pasukan Gerakan Am dari Senoi Praaq yang terdiri daripada 1,073 pegawai.

Senoi Praaq adalah sebuah unit polis yang terdiri hampir seluruh anggotanya Orang Asli.

"Setiap pasukan yang pergi ke rondaan akan tinggal di hutan selama sebulan, saya telah memberi mereka Prosedur Operasi Standard bahawa jika pemburu menimbulkan kecederaan atau menyebabkan kematian, mereka dibenarkan melepaskan tembakan.

"Ini adalah hutan kita, saya tidak akan membenarkan orang asing mengancam pegawai penguatkuasa kita," katanya.

Hamid menambah bahawa pasukan operasi juga akan mendapat bantuan dari polis marin polis dan unit Air Wing.

"Saya bagi kelulusan untuk membekalkan mereka dengan peralatan yang lebih praktikal. Contohnya, mereka tak perlu bawa beg terlalu berat. Jadi kita ringankan beg tersebut dengan memendekkan bekalan yang dibawa untuk dua minggu.

"Lagi dua minggu kita akan air drop (bekalan) di tempat-tempat yang dikenal pasti untuk bekalan makanan," katanya.

Hamid menegaskan bahawa operasi adalah penting untuk mengelakkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari melabel negara sebagai tidak bertanggungjawab.

Lihat Komen