malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kenapa Sosma bertentangan dengan prinsip keadilan
ADS

ULASAN l Mutakhir ini, ramai pihak yang berbicara mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), khususnya mengenai kuasa polis untuk menangkap dan menahan mana-mana orang disyaki terlibat dalam ‘kesalahan keselamatan’ sehingga 28 hari.

Hujah mengenai mengapa Sosma diperlukan juga banyak berkisar pada keperluan kuasa khas diberikan kepada pihak polis untuk menyiasat kes-kes berkenaan dengan terrorisme dan sebagainya.

Akan tetapi, perbincangan umum mengenai Sosma ini tidak banyak menyentuh pada kesan Sosma apabila seseorang tertuduh itu dituduh di Mahkamah dengan mana-mana ‘kesalahan keselamatan’, iaitu kesalahan-kesalahan di bawah Bab VI, VIA dan VIB Kanun Keseksaan, Bab IIIA Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015.

Seseorang yang dituduh di bawah kesalahan keselamatan ini tidak boleh dijamin, melainkan sekiranya tertuduh adalah bawah umur, seorang wanita atau seorang yang sakit atau uzur.

Malahan sekiranya seseorang didapati tidak bersalah sekalipun di akhir perbicaraan, orang yang dituduh masih tidak boleh dibebaskan oleh mahkamah sehinggalah proses rayuan dilupuskan di mahkamah atasan.

Ini bermakna, tertuduh ‘dihukum’ sepanjang proses undang-undang sedang berlangsung di mahkamah, bertentangan dengan prinsip bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum selagi tidak dibuktikan bersalah.

Sosma juga mempunyai peruntukkan-peruntukkan yang bertentangan dengan peraturan keterangan dan pembuktian yang termaktub dalam Akta Keterangan.

Contohnya, menurut Seksyen 18A Sosma, apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa hendaklah diterima (admissible) sebagai keterangan.

Maka, apa yang selalu terjadi dalam kes-kes melibatkan tahanan Sosma adalah individu yang ditahan akan diberi tekanan untuk menandatangani suatu ‘pengakuan’ di bawah Seksyen 18A Sosma, dan yang akan kemudiannya digunakan di Mahkamah.

Kebolehterimaan ‘pengakuan’ ini tidak boleh dicabar kerana peruntukkan Seksyen 18A.

Di samping itu, terdapat juga peruntukkan-peruntukkan lain dalam Sosma yang berat sebelah, seperti penggunaan saksi terlindung yang tidak diketahui identitinya di bawah Seksyen 14 Sosma, kebolehterimaan (admissibility) semua barang dan dokumen yang disita dalam apa jua keadaan sekalipun di bawah Seksyen 20 Sosma, dan lain-lain.

Kesan keseluruhan peruntukan-peruntukan ini adalah individu yang dituduh di bawah kesalahan keselamatan dan dibicarakan di bawah Sosma tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Maka, adalah tidak mengejutkan jika sebahagian besar individu yang didakwa melakukan kesalahan keselamatan akan mengaku salah, manakala yang minta untuk dibicarakan selalunya akan berakhir dengan sabitan.

Tidak ada sesiapa yang menentang usaha untuk membanteras dan melawan terrorisme atau mana-mana ancaman terhadap keselamatan dalam negeri.

Tidak dinafikan juga bahawa sememangnya ada keperluan untuk undang-undang khas dalam menyiasat dan membanteras ancaman-ancaman terhadap keselamatan dalam negeri.

Akan tetapi, mana-mana undang-undang mestilah menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia yang sudahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, selepas siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa dan individu didakwa di Mahkamah, tidak ada lagi keperluan untuk peruntukkan-peruntukkan khas yang berpihak kepada pihak pendakwaan dalam membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh.

Keterangan dan pembuktian yang didapati semasa perbicaraan, yang menyebabkan Pendakwa Raya membuat keputusan untuk mendakwa, sepatutnya sudah mencukupi untuk membuktikan kes pendakwaan seperti kes-kes jenayah lain.

Sosma adalah undang-undang yang bertentangan dengan prinsip keadilan.

Kerajaan digesa untuk memansuhkan akta tersebut, dan menggantikan dengan undang-undang lain yang lebih adil, sekiranya diperlukan.


SYAHREDZAN JOHAN ialah setiausaha politik ahli parlimen Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen