malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Baca dulu alasan mahkamah bebaskan pemandu wanita - Peguam
Diterbitkan:  Oct 28, 2019 1:37 PM
Dikemaskini: 5:40 AM
ADS

Peguam, Syahredzan Johan meminta orang ramai membaca dahulu alasan penghakiman mahkamah majistret membebaskan seorang jurujual wanita yang terlibat dalam kes langgar lapan remaja berbasikal dua tahun lepas.

Katanya, keputusan mahkamah dibuat berdasarkan keterangan dan bukti semasa perbicaraan.

“Jangan samakan orang yang memandu dalam keadaan mabuk, atau memandu lawan arus, dengan orang yang bawa kereta dengan betul.

"Baca sebelum komen atau hentam," katanya dalam satu kenyataan Facebook.

Terdahulu, Mahkamah Majistret di Johor Bahru, melepas dan membebaskan wanita itu, Sam Ke Ting, daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berkenaan.

Majistret Siti Hajar Ali, membebaskan Sam Ke Ting, 24 tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Syahredzan memetik kenyataan Siti Hajar bahawa semasa kejadian, Sam tidak berada bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta memakai tali pinggang keledar ketika memandu.

Malah, tertuduh ketika itu tidak melawan arus dan tidak berlumba, sekali gus membuktikan Sam memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.

'Bukan semua kemalangan disebabkan jenayah'

Beliau turut memetik kenyataan Siti Hajar yang berkata faktor yang mencipta kecederaan bukan disebabkan cara pemanduan Sam, tetapi dicipta sendiri oleh kumpulan basikal lajak terbabit.

Siti Hajar juga berkata beberapa perkara, termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh menjadikan pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di jalan itu pada jam 3 pagi.

“Ya, apa yang berlaku adalah tragedi. Lapan orang remaja hilang nyawa.

“Tetapi seseorang itu hanya bersalah kalau dia melakukan kesalahan. Kalau semasa perbicaraan dia tidak dibuktikan melakukan kesalahan, dia patut dilepaskan daripada tuduhan.

“Bukan semua kemalangan disebabkan ada orang melakukan jenayah,” kata Syahredzan lagi yang juga merupakan setiausaha politik kepada Lim Kit Siang.

Selain itu, mengulas lanjut di ruangan komen, Syahdredzan turut menjelaskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan selepas kes pendakwaan, yang bererti pendakwaan tidak dapat membuktikan kes prima facie.

Oleh hal yang demikian, tertuduh tidak perlu untuk membela diri, memandangkan tidak ada bukti di mahkamah untuk mewajarkan tertuduh berbuat demikian. 

Lihat Komen