BERITA

Najib bidas: Pak Kadir mulut celupar

27 Okt 2019, 3:11 petang

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

KATA MP | Saya percaya Pak Kadir (A Kadir Jasin) yang juga merupakan penasihat media kepada Perdana Menteri ketujuh (Dr Mahathir Mohamad) adalah seorang yang sangat tidak jujur serta seorang bermulut celupar.

Dalam artikel ini, dia gelar saya sebagai "perogol" Felda serta membuat beberapa tuduhan terhadap saya.


BACA: Najib lacurkan Felda - Kadir Jasin


Dia membuat tuduhan seolah-olah tak baca kertas putih Felda yang dikeluarkan oleh kerajaan PH sendiri.

Dia kata wang Felda sudah habis dibelanja.

Tapi dia tidak menyatakan bahawa wang ini dibelanjakan ke atas peneroka-peneroka sendiri seperti diakui oleh (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Azmin Ali.

Dia kata Felda ada pinjaman RM8 bilion tapi dia tidak menyatakan bahawa pinjaman ini dipinjamkan semula kepada peneroka-peneroka untuk projek-projek penanaman semula, rumah generasi kedua, pendidikan anak-anak Felda dan sebagainya.

Saya juga pernah menulis panjang-lebar kenapa FGV perlu disenaraikan untuk menyelemat Felda akibat pokok-pokok sawit sudah tua akibat perdana menteri keempat yang tidak banyak minat bidang perladangan masa itu dan Felda dalam bahaya tidak wujud lagi jika penanaman semula berskala besar yang menelan kos yang tinggi tidak dimulakan dengan segera.

Perkara ini pun pernah diakui oleh Lim Kit Siang pada tahun 2012 apabila dia kata 50 peratus dari pokok sawit dalam Felda sudah terlalu tua.

Lepas itu Pak Kadir kata tindakan Felda untuk membeli kepentingan 37 peratus saham dalam syarikat sawit Indonesia Eagle High Plantations dengan harga RM2.4 bilion adalah untuk menolong kawan serta menipu Felda.

Saya nak cabar Pak Kadir. Di mana lagi ada peluang untuk membeli 37 peratus kepentingan untuk ladang-ladang sawit yang pokoknya masih muda dengan keluasan 340,000 ekar dengan harga hanya RM2.4 bilion?

Dia kata harga saham Eagle High sekarang sudah jatuh dan Felda kini menanggung kerugian dalam buku sebanyak RM2 bilion yang dia dakwa ini duit peneroka.

Tidak betul juga kerana dana Felda untuk membeli kepentingan Eagle High Plantation ini sebenarnya pinjaman khas dengan kadar faedah rendah dari Kementerian Kewangan.

Walaupun Pak Kadir ada dedah sedikit tentang satu PUT option dalam perjanjian pembelian Felda dengan Eagle High, dia tak beri cerita penuh.

Ini telah didedahkan dalam kertas putih Felda kerajaan PH sendiri bahawa penjual kepentingan Eagle High itu (yang juga orang antara paling kaya di Indonesia) berjanji akan membayar balik seluruh harga pembelian Felda siap dengan faedah enam peratus setahun dalam masa lima tahun jika Felda mahu jual kembali pada masa itu.

Dalam ertikata lain dengan "Put Option" ini, kalau kita tak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semua wang yang kita bayar bersama dengan faedah enam peratus setiap tahun.

Wang yang kita bayar dahulu juga dipinjam melalui bon dengan kaedah faedah 3.85 peratus.

Ini bermakna, Jika syarikat itu berjaya dan harga sawit memulih, pelaburan ini akan untung lebih banyak.

Sebaliknya, kerajaan masih untung jika kita jual balik kerana faedah yang kita kenakan kepada mereka adalah lebih tinggi dari kos hutang kita.

Dengan "Put Option" ini, berapa harga setiap saham juga tidaklah penting kerana keuntungan kita sentiasa terjamin.

Maka, wang rakyat tetap terpelihara dan kita tidak akan rugi - sekaligus membuktikan tomahan PH bahawa Felda akan rugi dengan membeli Eagle High ialah satu lagi fitnah.

Perlu juga ingat bahawa peluang untuk membeli kepentingan 37 peratus dalam ladang kelapa sawit yang sudah ditanam dengan keluasan 4 kali ganda negara Singapura dengan harga RM2 bilion sahaja bukan senang untuk dicari.

Purata usia pokok-pokok sawit Eagle High ini juga masih muda.

Ada yang belum matang dan ada yang hanya bermula matang.

Oleh itu, pengeluaran hasil dari Eagle High sedang berkembang dengan cepat.

Rugi masa pelaburan belum matang

Tahun 2018 lalu, pengeluaran mereka meningkat 33 peratus. Dan dijangka meningkat lagi tahun ini.

Pada masa hadapan, pengeluaran Eagle High dijangka melebihi pengeluaran FGV.

Pak Kadir ini seolah-olah tak faham bahawa jika meniaga atau membuat pelaburan, kita mesti lihat ke masa hadapan. Bukan kerugian pada masa pelaburan ini belum matang atau sampai masa.

Buat apa nak tipu Felda dengan RM2 bilion (siap ada put option untuk memastikan Felda tak rugi) jika hanya menjual sebahagian dari pelaburan IHH Berhad yang dibina masa saya PM sudah bernilai RM8.42 bilion?

Sudah-sudahlah Pak Kadir. Korang sudah jual berpuluh-puluh bilion Ringgit aset negara yang dibina masa saya PM, sekarang nak tuduh saya "terlebih" bayar RM2 bilion pulak?

Nak tuduh saya rompak berbilion-bilion dari Felda tapi sehingga kini, tiada pemimpin BN termasuk saya didakwa di mahkamah kerana merompak atau "merogol" berbilion-bilion dari Felda pula walaupun kertas putih Felda sudah buat dan kerajaan PH sudah 18 bulan memerintah..

Saya harian kenapa Pak Kadir begitu tertumpu kepada pelaburan RM2.4 bilion untuk kepentingan 37 peratus dalam satu aset yang masih kuat berkembang dan berpotensi besar, siap dengan perjanjian put option yang menjamin Felda hanya boleh untung dan tidak akan rugi.

Tapi dia seolah-olah tidak lihat bahawa kerajaan PH sedang terlebih bayar RM2.82 bilion apabila mereka membayar RM6.2 bilion untuk mengambil-alih 4 lebuhraya tol - iaitu satu aset yang nilainya semakin berkurang setiap tahun kerana konsesi-konsesi mereka akan tamat tidak lama lagi.

Pak Kadir tahu beza tak? Dia tahu meniaga ke?


NAJIB RAZAK ialah bekas perdana menteri dan anggota parlimen Pekan.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen