malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Imigresen sedia temui majikan dakwa pas lawatan kerja sementara dibatal
Diterbitkan:  Oct 27, 2019 9:48 PM
Dikemaskini: 1:48 PM
ADS

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia bertemu dengan pihak majikan yang mendakwa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi kakitangannya telah dibatalkan, maklum Ketua Pengarahnya Dzaimee Daud.

"Jabatan Imigresen bersedia untuk berjumpa majikan yang terlibat dalam pembatalan PLKS ini bagi membuat semakan berkaitan pembatalan kuota PLKS pekerja mereka.

"Majikan-majikan berkenaan boleh datang terus ke Bahagian Pekerja Asing di Tingkat 2, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.

"Urusan melalui orang tengah tidak dibenarkan," katanya dalam suatu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Dzaimee mengulas suatu ulasan yang menyatakan hampir 500 majikan mendakwa PLKS telah dibatalkan.

"Dalam perkara ini, JIM ingin menjelaskan bahawa susulan daripada hasil Laporan Ketua Audit Negara 2018 mengenai manipulasi sistem dan kuota diwujudkan secara tidak sah, jabatan ini telah mengambil tindakan membatalkan semua kelulusan kuota yang dikesan diperolehi secara tidak teratur dan menyekat kuota yang telah melebihi tempoh sah laku dari tarikh kelulusan.

"JIM juga turut membatalkan kuota PLKS majikan yang tidak membayar levi tahun pertama di Pusat Hentian Setempat KDN seperti mana yang ditetapkan dalam peraturan semasa," katanya lagi.

Kali ini pekerja asing yang berkerja di Malaysia sejak tahun 2013 dibatalkan PLKS dan VDR selepas Imigresen menerima bayaran levi bagi tahun 2020.

Semalam, Malaysiakini menerbitkan ulasan yang mana penulisnya mendakwa PLKS pekerja-pekerja ini didakwa telah dibatalkan atas alasan majikan tidak membayar levi pada tahun 2013.

Penulis juga berkata majikan yang disebutnya mempunyai bukti bahawa membuat pembayaran sejak tahun 2013.


BACA: Sistem Imigresen digodam lagi?

Lihat Komen