malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan pintu belakang di Melaka cuma omong kosong - Redzuan
ADS

Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka menegaskan tidak menerima sebarang mandat kepimpinan tertinggi parti itu untuk melakukan perbincangan bagi membentuk kerajaan negeri ini dengan pembangkang, kata Ketuanya Mohd Redzuan Md Yusof.

Justeru, beliau yang juga menteri pembangunan usahawan berkata Bersatu Melaka akan terus berdiri teguh bersama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan di negeri ini dalam menunaikan amanah serta tanggungjawab diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas.

"PH punya prinsip kita bersama-sama menukar kerajaan Barisan Nasional (BN), jadi tiada isu nak tukar kerajaan ikut pintu belakang ini (bersama BN), tiada perbincangan langsung di peringkat tertinggi, ini semua omong kosong daripada orang berkepentingan.

"Mungkin ada cubaan untuk meraih sokongan atau jawatan tertentu. Kita tidak boleh lari daripada mandat rakyat dengan menukar kerajaan melalui cara yang tidak demokratik. Bersatu Melaka 100 peratus kukuh berdiri bersama kepimpinan Ketua Menteri Adly Zahari," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jumaat lepas, sebuah portal berita melaporkan dakwaan wujud usul untuk menggantikan kepemimpinan Adly melalui pembentukan kerajaan 'pintu belakang’ melalui kerjasama dua anggota exco kerajaan negeri yang tidak dinamakan.

Mohd Redzuan berkata Kerajaan Melaka dipimpin PH telah melaksanakan hampir keseluruhan manifestonya dan melaksana pelbagai inisiatif bagi memberikan kehidupan lebih baik kepada rakyat, maka adalah tindakan tidak logik menukar sebuah kerajaan yang telah berfungsi baik menjaga rakyat.

Berkenaan perjumpaan Timbalan Ketua Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen dengan wakil Umno baru-baru ini, Mohd Redzuan berkata perjumpaan itu dibuat atas kapasiti peribadi dan bukan atas kapasiti Bersatu sendiri.

Beliau berkata Bersatu tiada apa-apa halangan untuk pemimpinnya bertemu dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin pembangkang atas kapasiti peribadi terutama dalam membincangkan hal berkaitan kebaikkan rakyat, negeri dan negara.

"Bertemu minum kopi tukar pendapat itu hak individu tidak melambangkan dia membawa lambang parti Bersatu, kalau nak jumpa, saya pun boleh jumpa (Ketua Pembangkang Melaka) Idris (Haron) boleh jumpa Najib (Razak) tidak timbul isu berkomplot tukar kerajaan," katanya.

Ditanya tentang dakwaan Idris semalam bahawa Adly lemah dan tidak dapat menguruskan exconya seterusnya menerima belas kasihan DAP, Mohd Redzuan berkata beliau tidak melihat perkara sebegitu berlaku dalam kerajaan negeri ini.

"YAB Adly tentu ada cabaran kerana kita (parti komponen PH) daripada latar belakang pelbagai tetapi kita beri sokongan kepada beliau (Adly) dan ada apa-apa hendak dibangkitkan kita berbincang bersama di platform majlis PH untuk bantu beliau mantapkan pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

- Bernama

Lihat Komen