malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Nak haram parti ikut undang-undang, bukan selera ahli politik'
Diterbitkan:  Oct 27, 2019 11:57 AM
Dikemaskini: 5:56 AM
ADS

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man membuat tuduhan tanpa 'tabayyun' dalam saranannya agar DAP diharamkan, kata anggota Jawatankuasa Pemuda DAP Edry Faizal Eddy Yusof.

Beliau berkata cadangan Tuan Ibrahim itu berdasarkan kepada tuduhan tidak berasas dan persepsi, bukan ekoran agenda dan ideologi parti.

"Ia semata-mata bersandarkan kes beberapa ahli parti yang belum dibuktikan bersalah oleh badan kehakiman dan kesilapan seorang individu yang bukan ahli parti.

"PAS melalui timbalan presidennya menuduh tanpa 'tabayyun' terlebih dahulu bukanlah sesuatu yang baru, akan tetapi logik yang diguna pakai beliau juga luar biasa anehnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 25 Oktober lalu, Tuan Ibrahim menyenaraikan tiga perkara yang disifatkannya sebagai bukti bahawa DAP semakin membahayakan politik negara, serta bertindak secara "bercanggah dengan pembentukan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan".

Tiga perkara itu ialah ucapan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di sebuah forum pada 14 September lalu yang didakwanya berunsur Kristianisasi penahanan beberapa pemimpin DAP sebagai suspek Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) serta kontroversi komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) oleh bekas aktivis parti itu, Hew Kuan Yau.


Polis perlu siasat forum Naratif Malaysia Baru

Dakwaan agenda Kristianisasi: Timbalan menteri jawab PAS


Mengulas perkara itu, Edry yang juga adun Dusun Tua berkata pengharaman parti politik perlu bersandarkan kedaulatan undang-undang dan bukannya "ikut selera ahli politik".

"Pengharaman ekoran kemungkinan kesalahan individu adalah seperti membuang setandan pisang walaupun hanya sebiji dua yang busuk. Atau marahkan nyamuk kelambu dibakar.

"Ini kerana tiada sebab sesebuah organisasi harus diharamkan jika agenda, pergerakan dan pengurusannya tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan. 

"Agenda, pergerakan dan pengurusan parti DAP tidak pernah menyalahi atau bercanggah dengan mana-mana undang-undang," katanya lagi.

Beliau berkata DAP masih lagi parti yang sama sewaktu era Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif yang "halal di mata PAS".

"Yang berbeza kini hanyalah kompas moral PAS, bak peribahasa menyebut - neraca palingan bungkal, sentiasa berubah-ubah," katanya lagi.

Khairuddin: Desakan berdasarkan undang-undang

Bagaimanapun anggota Jawatankuasa Pusat PAS Khairuddin Aman Razali berkata desakan itu berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukan dibuat sembarangan.

Beliau berkata ia selaras dengan Seksyen 5(1), Seksyen 13(1)(c)(ii) atau Seksyen 13(1)(c)(iii) Akta Pertubuhan 1966.

Justeru beliau membidas mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyifatkan desakan itu bertentangan dengan amalan demokrasi.

Beliau membangkitkan prakata oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Pengerusi Tan Kok Wai dalam komik BRI yang telah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut Akta Pertubuhan, Seksyen 5(1) berkenaan kuasa dan budi bicara menteri untuk mengisytiharkan mana-mana pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang, antaranya jika didapati bertentangan dengan keselamatan Persekutuan.

Seksyen Seksyen 13(1)(c)(ii) dan Seksyen 13(1)(c)(iii) pula berkenaan pembatalan dan penggantungan pertubuhan oleh pendaftar berdasarkan beberapa kriteria, antaranya jika ia digunakan untuk mencapai "tujuan lain daripada tujuan yang ia didaftarkan".

Lihat Komen