malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Boleh cakap tentang Melayu, Islam tapi tanpa akhlak takkan berjaya'
ADS

Naratif pembinaan negara baru bagi Malaysia perlu menumpukan kepada asas-asa ekonomi dan bukannya retorik kaum atau agama, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Anwar berkata negara secara keseluruhannya perlu memfokuskan perkara penting, menyatukan rakyat dengan menangani isu-isu yang sering dihadapi rakyat Malaysia.

"Fokus kepada ekonomi, untuk tegakkan keadilan. Untuk mempamerkan keprihatinan terhadap masalah golongan miskin, ketidaksamaan dalam masyarakat kita.

“Isu utama tetap menjadi keperluan untuk mencapai visi baru bagi negara ini berdasarkan etika dan tadbir urus," kata anggota parlimen Port Dickson itu.

Anwar dalam ucapannya berkata pelbagai kajian menunjukkan ekonomi Malaysia mengalami kelembapan selama 15 tahun yang lalu.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ijtimak Harakiy kali keenam anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Kajang, hari ini.

Seruan itu dibuat beberapa minggu selepas beberapa NGO berteraskan Melayu Islam menganjurkan Kongres Maruah Melayu yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Kongres itu membuat tuntutan yang sukar kepada kerajaan, termasuk jawatan kerajaan tertinggi perlu dikhaskan secara eksklusif untuk orang Melayu, memandangkan pada masa sama, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaannya tidak 'cukup Melayu'.

Permintaan mereka juga dibuat selepas ketua eksekutif sekretariat Kongres berkenaan, Zainal Kling, menyampaikan ucapan pembukaan dengan nada keras yang menekankan mengenai kedaulatan raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa bangsa Melayu.

'Tanpa akhlak takkan berjaya'

Anwar dalam ucapannya hari ini menegaskan Malaysia selama 60 tahun di bawah pentadbiran BN menyaksikan kerosakan dan penyalahgunaan kuasa akibat kurangnya etika dalam tadbir urus.

"Kita boleh bercakap tentang agama atau Islam, atau tamadun Melayu, tetapi tanpa etika, tanpa akhlak, kita tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara," tegasnya.

Terdahulu, Anwar mengimbas semula bagaimana isu mengenai Islam dalam masyarakat berbilang kaum telah dibincangkan oleh Abim dan sekutunya sejak tahun 1970-an.

Anwar berkata, sebelum ini, perbincangan yang panjang mengenai topik itu telah membawa Abim di kedudukan yang tidak berkompromi dengan perlembagaan yang melindungi agama Islam atau Melayu dan Bumiputera, selain menghormati hak kaum lain.

Memetik status Bahasa Melayu sebagai contoh, Anwar berkata pemimpin Melayu mesti menguatkuasakan penggunaannya dalam semua majlis rasmi, dan bukannya menyalahkan kaum lain kerana kelemahan mereka dalam menguasai bahasa kebangsaan.

Ijtimak Harakiy kali keenam yang diadakan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue itu menyaksikan penyertaan daripada ahli-ahli Abim, Wadah dan PKPIM di seluruh negara.

Antara perkara utama dibincangkan dalam ucapannya, dan dihuraikan melalui beberapa sesi forum, termasuk peranan Islam dalam masyarakat berbilang kaum dan pelbagai agama; peningkatan 'populisme sayap kanan' di Malaysia dan di luar negara; serta peranan pemimpin dalam membangunkan negara.

Lihat Komen