malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Umno: Royalti minyak penuh jika Muafakat Nasional jadi k'jaan
Diterbitkan:  Oct 26, 2019 1:51 PM
Dikemaskini: 7:15 AM
ADS

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk memberikan royalti minyak sepenuhnya sekiranya Muafakat Nasional berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Zahid berkata, tawaran baru itu akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberi kepercayaan untuk parti itu kembali menerajui negara.

"Insya-Allah tawaran baru kita akan berikan apabila rakyat memberikan kepercayaan semula kepada kita dengan kerjasama PAS atas nama Muafakat Nasional.

"Bukan setakat royalti minyak sebagai mana dituntut kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan, kita akan berikan sepenuhnya royalti minyak kepada negeri Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan serta Pahang dan negeri-negeri yang lain.

"Hari ini di majlis kongres Umno Terengganu, yakinlah resolusi menuntut royalti minyak dibayar penuh kepada Terengganu. Insya-Allah dalam tawaran baru yang akan kita laksanakan," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Umno Negeri Terengganu, hari ini.

Bagaimanapun, Zahid dalam ucapannya tidak menyebut jumlah peratusan royalti yang akan dibayar kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Muafakat Nasional merujuk kerjasama politik antara PAS dan Umno yang dimeterai baru-baru ini.

Terserah negeri tentukan projek

Presiden Umno pada hari ini juga berkata sekiranya Muafakat Nasional membentuk kerajaan maka negeri akan disalurkan peruntukan kewangan secara terus dan tidak lagi diberikan dalam bentuk projek.

"Kita harap peruntukan yang datang dari perbendaharaan bukan dalam bentuk projek yang akan diberikan Kerajaan Persekutuan, tetapi kita menuntut peruntukan dalam bentuk kewangan hendaklah diberikan kepada kerajaan negeri secara terus.

"Biarlah kerajaan negeri yang menentukan projek apa yang paling sesuai untuk Terengganu, untuk orang Terengganu," katanya.

Hadir sama Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said dan kepimpinan Umno pusat.

Pada 16 Oktober lalu, kerajaan negeri Terengganu memaklumkan sudah menerima royalti minyak bagi tahun ini berjumlah RM1.277 bilion.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Wang Tunai Petroleum (WTP) yang diterima itu merupakan nilai selepas potongan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 25 peratus atau RM129 juta.

Katanya, ini bermakna baki terkini hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan hanya tinggal lebih RM300 juta dan ia akan dilunaskan tahun depan sebagaimana ditetapkan.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri memberitahu Terengganu akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan supaya pemotongan hutang itu dapat diminimumkan kerana kerajaan negeri bakal berdepan situasi ekonomi paling mencabar tahun depan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah pada 16 Oktober lalu berkata bayaran lebih RM28 juta yang disalurkan Putrajaya kepada kerajaan negeri adalah wang ihsan, sama seperti diterima mereka sejak zaman BN dahulu.

Pada kempen PRU14 lalu, Pakatan harapan (HARAPAN) berjanji untuk memberikan 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar petroleum

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan "menunaikan janji" dengan memberi 20 peratus royalti minyak berdasarkan keuntungan dan bukannya penghasilan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 25 Julai 2018 di Dewan Rakyat berkata kerajaan tidak mampu membayar jumlah royalti minyak sebanyak 20 peratus berdasarkan penghasilan dan mendakwa Petronas akan berhenti beroperasi jika bayaran seperti itu dilaksanakan.

Menurut Azmin bayaran royalti 20 peratus berdasarkan keuntungan itu hanya boleh dibuat selepas Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda di parlimen.

Berdasarkan akta tersebut, negeri pengeluar minyak akan menerima royalti sebanyak 5 peratus manakala perjanjian antara Petronas dan Kelantan pada 1976 pula menyebut bayaran tunai sebanyak 5 peratus juga.

Lihat Komen