malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN disaran bentuk program deradikalisasi bagi LTTE
ADS

Kementerian Dalam Negeri (KDN) disaran membentuk program deradikalisasi bagi mereka yang terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pakar Kajian Strategik dan Ancaman Keganasan, Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam, berkata buat masa ini program deradikalisasi yang ada hanya berkait dengan militan Daesh ataupun IS.

"Saya rasa kerajaan ataupun lebih tepat lagi KDN perlu mewujudkan satu jawatankuasa bagi membangunkan kaedah-kaedah deradikalisasi tahanan LTTE.

"Tidak ada satu modul yang tepat boleh digunakan sebagai panduan asas dalam pemulihan tahanan selain Daesh atau IS.

"Model yang dibangunkan sebelum ini menggunakan pendekatan Islamik bagi memulihkan individu terbabit dengan militan Islam," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Sejak 10 Okt lalu, polis mencekup 12 individu, termasuk dua Adun DAP, dalam operasi ke atas pihak yang disyaki terbabit dengan LTTE.

Menurut Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman suspek-suspek terbabit ditahan kerana disyaki mempromosi dan menghasut orang awam supaya menyokong kumpulan LTTE yang disenaraikan sebagai pengganas.

Ketua Penolong Pengarah E8, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mereka memiliki barangan yang berkaitan LTTE, serta menolong membiayai kegiatan kumpulan terbabit.

Ayob turut dilaporkan sebagai berkata, pihak polis Malaysia sedang memantau pemimpin-pemimpin India khususnya ketua penyelaras Parti Naam Thamilar, S Seeman yang merupakan penyokong kuat LTTE serta perjuangan pembebasan Tamil Eelam.

Ideologi LTTE bentuk kerajaan melalui keganasan

Dalam pada itu Mohd Mizan berkata, LTTE bukan pengganas yang berasaskan kepada ideologi agama, tetapi lebih kepada ideologi bagi membentuk kerajaan melalui cara keganasan.

Jelasnya, pemulihan bagi militan LTTE lebih kepada usaha untuk memulihkan ideologi politik dalam hal berkaitan pembentukan kerajaan secara tidak sah.

"Oleh itu kita perlu ada satu modul untuk lawan balik ideologi ini iaitu ideologi ganas bukan Islam.

"Jawatankuasa panel ini boleh terdiri daripada latar pelbagai bangsa yang boleh memberi maklumat tepat dan betul, seterusnya memulihkan ideologi," katanya.

Mohd Mizan yang juga panel deradikalisasi di KDN berkata, dalam hal ini kerajaan perlu merujuk beberapa negara yang telah berjaya memulihkan ideologi politik ganas termasuk Sri Lanka.

"Sri Lanka telah berjaya memulihkan lebih 6,000 pengganas yang berkait dengan LTTE. Begitu juga Ireland yang berjaya memulihkan individu terbabit dengan gerakan pemisah negara itu," katanya lagi.

LTTE diiktiraf sebagai sebuah pertubuhan pengganas pada 1980-an oleh 32 negara termasuklah badan keselamatan antarabangsa.

Menurut Mohd Mizan lagi, LTTE adalah kumpulan pengganas yang amat merbahaya dan lebih bahaya berbanding Al-Qaeda dan IS.

"LTTE adalah kumpulan pengganas yang paling bersistematik, mempunyai kumpulan askar sendiri, perisik terlatih dan skuad pengebom berani mati.

"LTTE dilatih oleh anasir luar terutama perisik antarabangsa," jelasnya.

Lihat Komen