malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ISA perlu dikembalikan, kata ahli akademik
ADS

Kerajaan harus mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk memerangi ancaman keselamatan negara, kata ahli akademik.

Amimi Amir Abdullah yang merupakan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata ini kerana Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak begitu ditakuti.

"Kita perlu kembalikan ISA. Ramai kawan saya ditangkap di bawah ISA dan kini mereka menjadi orang yang baik.

"Orang ramai tidak takut kepada Sosma, malah mereka mengkritiknya. Ramai dalam masyarakat moden mempunyai adab yang buruk .. sebab itulah kita perlukan ISA," kata Amini sambil memetik contoh pelajar Universiti Malaya Wong Yan Ke yang mengadakan protes di pentas majlis konvokesyen pada 14 Oktober lalu.

 

Pelajar kejuruteraan awam itu membawa plakad di atas pentas menuntut peletakan jawatan Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim kerana melibatkan universiti dalam menganjurkan Kongres Maruah Melayu.

Amini, yang merupakan profesor madya fakulti ekologi manusia bercakap di sebuah wacana di UPM bertajuk "Kekerasan dan Ancaman Keselamatan Negara: Adakah kita bersedia?"

Beliau berkata pentadbiran Najib Razak sebelum ini terlalu berlembut dan tunduk pada tekanan untuk memansuhkan ISA.

Mengenai Sosma, beliau menyatakan bagaimana mereka yang ditangkap mencabar penahanan mereka di mahkamah walaupun undang-undang hanya menyediakan penahanan tanpa perbicaraan selama tempoh 28 hari.

Amini merujuk kepada individu yang ditahan di bawah Sosma awal bulan ini kerana dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Antara yang ditahan ialah dua Adun DAP.

ISA, yang digubal pada 1960 untuk menentang pemberontakan komunis, membenarkan polis untuk menahan tanpa perbicaraan selama dua tahun. Ia boleh dilanjutkan mengikut budi bicara menteri dalam negeri. Selepas menahan suspek, polis boleh menghalang suspek dari berkomunikasi dengan dunia luar selama 60 hari.

Bagaimanapun, undang-undang itu mendapat kritikan kerana ia digunakan terhadap penentang politik dan aktivis.

 

Sementara itu, panel lain forum hari ini, Shamrahayu Abd Aziz berkata berikutan pemansuhan ISA, Sosma adalah undang-undang yang ada untuk menjaga keselamatan negara.

Profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu tidak bersetuju dengan pengkritik yang menyifatkan Sosma sebagai undang-undang yang keras.

"Ini hanya undang-undang prosedur, apa yang salah dengannya? Ramai orang mengatakan Sosma adalah kejam ... Sila tunjukkan bagaimana kejamnya.

"Di bawah Sosma, polis boleh menahan (orang) tanpa waran selama 28 hari tetapi dalam masa 21 hari, polisi harus menyediakan dokumen yang akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

"DPP emudian akan meneliti dokumen itu sebelum memberi arahan lanjut," katanya.

Dia berpendapat bahawa di bawah Sosma, polis mempunyai lebih banyak masa untuk menyiasat suspek dan mangsa terdekat suspek mempunyai hak untuk mengetahui keadaan suspek.

"Suspek diberi hak untuk memberitahu kepada keluarga terdekat dan menghubungi seorang peguam.

"Sosma sangat baik kerana perbicaraan kemudiannya akan dijalankan di mahkamah terbuka di mana orang ramai boleh menyaksikan perbicaraan," katanya.

Shamrahayu juga memberi amaran bahawa pindaan Sosma akan menyebabkan undang-undang itu tidak berkesan.

"Sekiranya kita mahu memindanya, kita mesti pastikan ia berkesan, jika tidak, ia tidak akan berfungsi dan sekadar kosmetik," katanya.

Lihat Komen