malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Satu juta bukan penduduk asal diberi kewarganegaraan
Diterbitkan:  Oct 25, 2019 3:01 PM
Dikemaskini: 8:56 AM
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyorot bahawa satu juta bukan penduduk asal negara ini diberi kewarganegaraan selepas mencapai kemerdekaan.

Kenyataan itu dibuat dalam catatan di blognya, tanpa mengulas lanjut, sebagai menyatakan kekecewaan apabila Kongres Maruah Melayu disifatkan sebagai perkauman.

"Apabila bekas tanah jajahan Eropah memperoleh kemerdekaan, ramai yang mendiskriminasi bukan penduduk asal. Ada yang terpaksa meninggalkan negara ini. Ada yang diserang dengan ganas.

"Perkara itu tidak jadi di negara ini. Bukan penduduk asal diterima sebagai warganegara. Malah, satu juta bukan penduduk asal diberi kewarganegaraan walaupun mereka tidak layak.

"(Justeru) saya rasa kecewa apabila memikirkan bahawa penduduk asal tidak diwajarkan berkumpul di negara mereka sendiri tanpa dituduh sebagai perkauman.

"Dan sudah tentu, saya akan dilabel sebagai perkauman kerana menulis seperti ini," katanya.

Semasa Kongres Maruah Melayu awal bulan ini, Dr Mahathir mendapat kritikan selepas berkata bahawa orang Melayu telah menerima orang luar sebagai warganegara sebagai pertukaran untuk kemerdekaan dari British.

Ketika Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada Ogos 1957, kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu diberi mengikut dua kategori iaitu kewarganegaraan automatik dan kewarganegaraan melalui naturalisasi.

Kewarganegaraan automatik diberikan kepada:

  1. Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.
  2. Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan selama 15 tahun terus-menerus.
  3. Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal selama 15 tahun terus-menerus.
  4. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat istiadat Melayu dalam kehidupan sehari-hari.
  5. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu di mana kedua ibu bapanya dilahirkan serta telah tinggal selama 15 tahun berterusan.

Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;

  1. dilahirkan di Persekutuan dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan
  2. Telah tinggal di Persekutuan selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.

Dr M akui ada pandangan ekstrem

Sementara itu, dalam catatan blognya petang ini, Dr Mahathir berkata beliau menghadiri kongres itu kerana beliau seorang Melayu.

"Adalah perkara biasa dalam negara berbilang kaum ini untuk rakyat mengekalkan pengenalan diri mereka dengan negara asal mereka walaupun selepas berada di Malaysia dan memegang kewarganegaraan mereka selama tiga generasi. Mereka tidak mahu kehilangan identiti kaum mereka.

"Mereka memperlihatkan pautan etnik ini melalui bahasa, budaya, sekolah dan organisasi etnik mereka. Mereka sering mengadakan mesyuarat yang terbatas kepada kumpulan etnik mereka. Kadang-kadang saya akan dijemput untuk merasimikan pertemuan-pertemuan ini dan diminta memberi ucaptama," tambahnya.

Tambah Dr Mahathir, dalam kepelbagaian kaum di Malaysia, etnik diiktiraf sebagai sah dan wajar.

Sedangkan, katanya negara-negara berbilang kaum lain menyaksikan bukan penduduk asal perlu mengenali diri mereka seperti penduduk asal sepenuhnya.

"Mereka mengamalkan bahasa dan budaya penduduk asal dan memutuskan hubungan mereka dengan negara asal mereka. Mereka juga menukar nama mereka.

"Ini adalah ukuran toleransi penduduk asal di Malaysia bahawa perhimpunan yang terhad kepada kumpulan etnik yang berbeza diterima sebagai kebiasaan," katanya.

Justeru, Dr Mahathir berkata beliau terkejut apabila disaran tidak menghadiri kongres Melayu, yang dianjurkan bersama oleh empat universiti awam, untuk membincangkan maruah bangsa.

Dr Mahathir turut mengakui bahawa ada "pandangan ekstrem" dilontarkan pada kongres berkenaan, namun, secara keseruluhan kongres itu "seimbang".

"Jelas mereka prihatin terhadap kemungkinan mereka kehilangan maruah, apa pun maksudnya. Seperti biasa ada pandangan yang ekstrem tetapi pada keseluruhannya, ia seimbang.

"Tidak bolehlah kumpulan etnik lain boleh mengadakan perhimpunan untuk membincangkan urusan mereka, orang Melayu pula tidak dibolehkan, dan dituduh bahawa perhimpunan mereka adalah perkauman.

"Dan kini ada permintaan agar individu Melayu yang memulakan kongres itu dipecat kerana menghadirinya," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen