malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zainal Kling disoal siasat polis 2 jam, enggan jawab media
ADS

Setiausaha Eksekutif Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling enggan menjawab soalan pihak media ketika ditemui di luar ibu pejabat polis Bukit Aman.

Zainal cuma melambai ke arah wartawan yang menunggu ulasannya, sebelum memasuki kereta kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Terdahulu, beliau menghabiskan dua jam disoal siasat pihak polis berhubung ucapannya pada kongres awal bulan ini.

Polis mengambil kenyataan Zainal susulan laporan yang difailkan oleh ahli Penang Society for Tamil Advancement, Yoganathan Loganathan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Zainal, Muhamad Hisham Marzuki berkata Zainal dan Hashim Ismail telah memberikan kerjasama penuh kepada polis.

Hashim ialah pengarah Pusat Kecermelangan Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang merupakan penganjur kongres tersebut.

"Kedua-dua telah beri kerjasama penuh kepada pihak polis di dalam rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Pihak Prof Zainal dan juga Dr Hashim telah memberikan kerjasama dan yakin polis menjalankan siasatan dengan baik.

"Saya tak pasti sama ada dia akan dipanggil balik," kata Hisham.

Zainal telah membuat ucapan pembukaan semasa kongres yang dikritik ramai pihak susulan ucapan "keras" yang menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan, royalti, dan kedudukan hak istimewa orang Melayu.

Beliau bercakap panjang lebar tentang bagaimana orang bukan Melayu mengambil kesempatan daripada status kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka, sambil menegaskan Malaysia adalah milik orang Melayu.

Kongres itu dihadiri sekitar 5,000 orang, termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin Umno, PAS dan Pakatan Harapan.

Lihat Komen