malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bagaimana menteri terpedaya menyokong propaganda asing?
ADS

ULASAN | Tokoh kontroversi, Hew Kuan Yau, cuba menggambarkan komik tulisannya sebagai sebuah “analisis yang baik berkenaan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)”.

Namun setelah membaca kesemua 161 muka surat komik itu, saya tidak bersetuju. Komik berkenaan tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebuah hasil propaganda.

Dan ia bukan propaganda halus seperti kewujudan sembilan garis putus-putus (nine dash line) di atas peta dunia di latar belakang sebuah babak dalam sebuah filem kanak-kanak yang tidak berkaitan.

Sebaliknya ia satu propaganda jelas, yang tanpa segan silu, menggambarkan - antara lain - seorang Donald Trump yang jahat (sehingga dilukis mirip King Kong) dan seorang Xi Jinping yang sentiasa tersenyum sambil menyebarkan kebaikan sosialisme China ke seluruh dunia.

Menurut naratif komik itu, China adalah penyelamat dunia dan BRI adalah cara negara berkenaan akan melakukannya.

Malahan, menurut penulis komik itu, BRI seperti aksi menderma darah kepada dunia yang kesakitan. Alangkah bertuahnya kita, tentunya kita perlu bersyukur.

Dan lebih manis lagi, narator bagi naratif itu ialah dua kucing putih yang comel.

Membacanya membuat saya berasa rimas.

Saya pasti tidak keseorangan berasa rimas semasa membaca komik itu, yang telah diterjemah ke bahasa Melayu dan diterbitkan dengan penuh warna.

Jauh dari objektifnya untuk menarik sokongan pembaca bukan Cina terhadap kebaikan BRI dan China, terjemahan itu berkemungkinan besar mempunyai impak sebaliknya.

Ambil contoh isu Muslim Uighur yang kini ramai berada dalam kem paksaan kerajaan China. Dalam komik itu, mereka yang bersimpati kepada nasib warga Muslim Uighur di China dilabel sebagai “radikal”. Sudah tentu ia tidak akan menggalakkan sokongan untuk China.

Menurut Hew, “radikal” yang dimaksudkan bukanlah ekstremis agama atau pengganas. Bagaimanapun isu itu diolah pada muka surat yang sama dengan gambaran pengganas IS dan Osama bin Laden.

Tambahan pula, komik tersebut menyatakan hanya golongan minoriti Uighur yang dihukum kerana mereka “menggugat perpaduan dan keharmonian”.

Jadi, fikirkanlah sendiri apa mesej yang nak disampaikan sebenarnya.

Hakikatnya, berdasarkan muka surat itu sahaja, ramai yang menggesa kerajaan untuk mengharamkan komik tersebut. Tapi stereotaip lain juga tidak membantu.

Contohnya, rakyat Melayu Malaysia digambarkan sebagai golongan yang hanya percaya apa saja yang disuap oleh Umno, dan sebab itu mereka antinegara China.

Kaum India pula dikatakan terlalu terpengaruh dengan dasar negara India terhadap China.

Akhirnya, pada petang semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan komik tersebut telah diharamkan. Tapi alasan KDN agak pelik. Komik itu diharamkan kerana menyebarkan ideologi komunisme dan sosialisme.

Kebebasan bersuara

Walaupun tidak gemar dengan komik propaganda itu, saya tidak setuju dengan tindakan KDN mengharamkannya. Sebenarnya, saya tak setuju pengharaman apa-apa buku pun, apatah lagi atas dasar ideologi.

Hal ini kerana saya berpegang pada apa yang temeterai dalam undang-undang tertinggi negara kita - Perlembagaan Persekutuan.

Menurut perlembagaan, kebebasan bersuara wujud untuk semua, termasuk kepada mereka yang mempunyai pendapat yang memualkan, seperti dalam komik berkenaan.

Kebebasan itu juga wujud untuk mereka yang mempunyai pendapat yang menjengkelkan, seperti pendapat Hew bahawa golongan yang bersimpati dengan nasib warga Uighur adalah “radikal”, atau tanggapan stereotaip beliau berkenaan masyarakat Malaysia.

Kebebasan itu wujud tidak kira apa pun ideologi yang dikembangkan. Malahan, banyak lagi buku - termasuk buku teks universiti - yang menjelaskan secara mendalam apakah ideologi komunisme.

Takkan buku itu pun akan diharamkan?

Walaupun saya bukanlah peminat setia Hew, dan tidak gemar komiknya yang terlalu mengagungkan China ini, ia tetap mempunyai hak untuk wujud berdasarkan perlembagaan kita.

Ia juga berhak disiarkan dan dijual kepada orang awam, yang boleh menilai sendiri propaganda yang cuba diterapkannya.

Malahan, beberapa minggu lalu saya baru sahaja ternampak sebuah lagi buku propaganda bertajuk Virus LGBT dijual di sebuah kedai buku ternama di Kuala Lumpur. Buku Hew sangat sesuai diletakkan di rak yang sama.

Jika saya berpendapat buku itu boleh dijual di tempat awam, adakah saya juga setuju ia diedarkan melalui perpustakaan sekolah? Sebenarnya saya sendiri susah untuk merungkai persoalan ini.

Ini kerana pada usia 14 tahun, saya merupakan pelajar Muslim yang telah secara senyap-senyap membaca semua buku sastera Kristian berlabel ‘Untuk bukan Muslim sahaja’ yang terletak di sebuah rak di sudut perpustakaan sekolah menengah kami.

Dua dekad kemudian, saya belum lagi menjadi Kristian.

Pengalaman itu membuatkan saya yakin bahawa pelajar sekolah sebenarnya tidaklah terlalu senang untuk dipengaruh - biarpun dalam isu agama atau ideologi. Indoktrinisasi tidak semudah membaca sebuah buku komik (ataupun seluruh rak buku sastera Kristian).

Maka, saya tak percaya pelajar sekolah yang telah membaca buku komik propaganda Hew akan terus terpengaruh dan percaya China serta BRI adalah baik belaka.

Malahan, saya tidak percaya pelajar sekolah akan membaca komik itu sampai ke muka surat terakhir, kerana formatnya agak berat dan terlalu banyak perkataan.

Terpedaya?

Apa yang membuat saya rasa tidak senang dalam isu komik kontroversi itu sebenarnya bukanlah isi kandungannya, tetapi percubaan untuk menggambarkan ia sebagai sebuah tulisan yang seimbang dan akademik.

Lebih buruk lagi, penulis dan penerbit menggambarkan seolah-olah kerajaan Malaysia menyokong penerbitannya. Ini yang sebenarnya membuat saya rasa paling tidak senang.

Saya kurang senang memikirkan bagaimana Hew menggunakan hubungan politiknya untuk mendekati mereka yang berkuasa.

Seterusnya, beliau menggunakan perjumpaannya dengan para menteri dan timbalan menteri untuk menghadiahkan komik tersebut dan mengambil gambar sambil memegang komik tersebut.

Nampaknya, ada udang disebalik ‘photo op’ tersebut.

Beliau menggunakan gambar-gambar itu sebagai bukti sokongan terhadap komiknya yang cuba melentur persepsi rakyat Malaysia terhadap kuasa asing.

Malahan, dalam surat yang dihantar ke sekolah-sekolah bersama komik tersebut, penerbit secara khusus menyebut yang ia dihadiahkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada presiden Xi semasa lawatannya April lalu.

Gambar Mahathir berdepan dengan Xi sambil presiden China itu meneliti komik tersebut juga digunakan pada muka pertama komik tersebut.

Di sini kita perlu bertanya dua soalan:

1. Mengapa pula PM kita menyokong propaganda asing?

2. Mengapa para pustakawan tidak menyekat kemasukan propaganda asing ke perpustakaan sekolah?

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), komik tersebut bukanlah hadiah rasmi kerajaan Malaysia kepada Xi dan ia diberikan tanpa melalui proses pemilihan rasmi. Mahathir juga tidak memberi kebenaran gambar tersebut digunakan sebagai tanda sokongan.

Jawapan bagi soalan kedua berkaitan dengan soalan pertama.

Pada tanggapan saya, besar kemungkinan ia disebabkan budaya "saya yang menurut perintah" yang terlalu menebal dalam kalangan penjawat awam.

Besar kemungkinan, para pustakawan sekolah beranggapan bahawa mereka tidak berupaya untuk melarang sebuah buku yang mendapat sokongan perdana menteri.

Buku tersebut juga mempunyai prakata daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Sudah tentu seorang menteri kanan seperti beliau tidak akan menyokong propaganda asing?

Hakikatnya, beliau telahpun berbuat demikian.

Sekurang-kurangnya, PMO menjelaskan bahawa mereka terlepas pandang. Spekulasi saya adalah ia kerana pembantu perdana menteri tidak menjalankan tugas memeriksa apa yang akan diserahkan beliau kepada pemimipin dunia.

Dan perdana menteri kita yang berpengalaman berdekad-dekad lamanya, pun tidak memeriksanya sendiri.

Tapi apa pula alasan Lim? Persoalan ini masih belum dijawab. Mungkin dia tidak membaca komik tersebut sebelum menulis prakatanya.

Mungkin beliau rasa terhutang budi kepada pelukis komik tersebut, Tomato, kerana Tomato sebelum ini telah melukis sejilid komik berkenaan perjuangan Lim.

Kedua-dua kemungkinan itu bukanlah alasan yang boleh diterima, dan sikap berdiam diri beliau sepanjang kontroversi ini menghampakan.

Propaganda merata-rata

Jangan salah sangka - hanya seorang yang naif akan bertanggapan bahawa komik ini adalah satu-satunya propaganda asing dalam hidup kita. Sama ada anda dewasa atau kanak-kanak, hidup kita sudahpun dipenuhi propaganda dalam pelbagai rupa.

Di sini, saya setuju dengan komik Hew yang mengatakan yang naskhah Captain America atau filem The Avengers semua bukanlah hiburan semata-mata.

Kuasa asing sering cuba untuk mempengaruhi perpepsi kita terhadap mereka. Ia berlaku dalam pelbagai cara - melalui hiburan, kunjungan diplomatik, jual-beli, bantuan kewangan, biasiswa... sebenarnya memang pelbagai cara diplomasi ‘lembut’ dipraktikkan.

Ini bukan di luar jangkaan. Memang tugas mereka untuk mengubah persepsi kita menjadi lebih positif. Sekurang-kurangnya mereka sepatutnya cuba.

Malah, para diplomat dan pihak berkuasa Malaysia juga seharusnya membuat perkara yang sama, iaitu cuba membina persepsi positif terhadap Malaysia di mata dunia luar.

Ini sebenarnya tugas kita sebagai rakyat Malaysia, iaitu untuk menyatakan pendapat rakyat Malaysia. Bukannya bersusah payah untuk menyebarkan propaganda asing kepada kanak-kanak Malaysia.

Sebenarnya kenapa Hew gigih menjadi penyokong tegar BRI dan China, hinggakan beliau sanggup mencetak dan menyebarkan buku-buku tersebut ke sekolah-sekolah secara percuma?

Mungkin Hew mengeluarkan modal sendiri untuk projek itu kerana beliau memang percaya China adalah satu kuasa asing yang baik, yang akan menyelamatkan dunia kita daripada kesengsaraan.

Sebenarnya, Hew tidak pernah malu untuk berkongsi pandangannya berkenaan China. Sebelum ini beliau berkata - pada tanggapannya - Laut China Selatan memang kepunyaan China. (Jelasnya, ia dari perspektif sejarah.)

Bukan satu jenayah untuk seorang warganegara Malaysia untuk berpendapat sedemikian. Namun, ia membawa kita ke persoalan terakhir:

Jika pendirian Hew sudah terang lagi bersuluh, kenapa pula menteri kita terlalu mesra dengannya?


AIDILA RAZAK ialah anggota redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen