malaysiakini logo
story-image
ADS

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, menganggap Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengambil pendekatan murahan apabila mengkritik parti itu menggunakan alasan yang sering diuar-uarkan PAS.

Ditemui di parlimen, Salahuddin berkata, Amanah akan tetap mempertahankan kemuliaan Islam dan kedudukan bangsa Melayu di sebalik pelbagai kecaman dan tohmahan dibuat pelbagai pihak, termasuk Mohd Asri.

Kata Salahuddin, dengan menuduh Amanah seolah-olah menjadi pelindung DAP, mufti Perlis itu sebenarnya mengitar semula hujah yang selalu dikumandangkan oleh PAS.

Malah, kata anggota parlimen Pulai itu, hujah "kuda DAP" juga pernah dikenakan kepada PAS ketika kedua-dua parti berkenaan bekerjasama.

“Waktu kami dalam PAS dan bersama DAP, itulah juga lagunya: bahawa PAS dikudakan DAP. Apabila Amanah bersama DAP dalam PH seperti sekarang, itu juga lagunya.

“Isu ini adalah isu yang diulang-ulang, beliau (Mohd Asri) kena ingat, semasa saya dalam PAS, itulah isu yang dimainkan (untuk menyerang PAS), tapi Amanah tidak tidak akan peduli

“Bagi Amanah, yang penting ialah, dengan kuasa yang ada pada PH, kami dapat mengekalkan kedudukan Islam dan Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Nak kecoh apa lagi

Sementara itu Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata tidak berbangkit isu Amanah memberikan kesetiaan kepada mana-mana parti lain, termasuk DAP, kerana PH bersepakat untuk tidak menonjolkan diri bagi menjuarai sesuatu isu.

Kata Khalid, jika ada sesuatu isu berbangkit dalam PH, parti terbabit tidak perlu menonjolkan diri bergaduh untuk menjadi hero di mata orang ramai.

“Tak perlulah kita bergaduh. Kita dalam mesyuarat kabinet dan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH dah kata, apa-apa (isu) yang menjadi masalah tak perlu nak tunjuk jadi hero. Atau kita kena lawan dengan DAP supaya nampak jadi hero.

“Kita lawan dengan apa yang kita nak, dan akhirnya dasar yang diputuskan adalah mengikut apa yang kita mahu. Jadi, apa yang dah kita dapat? Dr Zakir Naik tak dihantar balik, betul?" katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa hari lalu Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memuat naik rakaman "temu bual" beliau dengan salah seorang anak didik Zakir, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Satu daripada petikan klip tersebut diberi tajuk Dr Maza Kagum Dengan Amanah Kerana Terlalu Setia Kepada DAP.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam berkata, apa tujuan Mohd Asri membangkitkan isu berkenaan dan klip video tersebut disebarkan.

“Apa nak kecohnya? Dia kecoh pasal komik, komik, komik, komik dan sekarang komik itu tak lagi boleh diedarkan.

"Jadi, apa nak kecoh lagi?" katanya.

Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, berkata kritikan Mohd Asri terhadap parti itu dilihat tidak ada bezanya dengan pendekatan diambil PAS.

“Cara beliau beri pandangan sama macam PAS, iaitu selalu memfitnah Amanah,” katanya kepada Malaysiakini

Oleh demikian, Izham mencadangkan Mohd Asri supaya berhenti menjadi mufti dan menyertai politik secara langsung.

Lihat Komen