malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes SRC: Keputusan Najib bela diri atau bebas pada 11 Nov
Diterbitkan:  Oct 24, 2019 8:48 AM
Dikemaskini: 12:48 AM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak akan mengetahui pada 11 Nov sama ada beliau akan dipanggil untuk membela diri atau bebas daripada tujuh pertuduhan menyalahgunakan kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta daripada SRC Internasional Sdn Bhd.

Selepas selesai mendengar hujahan dua hari oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang sebelum ini menetapkan 11 Nov, mengesahkan tarikh tersebut bagi keputusan kes di peringkat pendakwaan ke atas bekas perdana menteri dan menteri kewangan, 58 hari selepas perbicaraan hari pertama kes SRC International yang bermula 3 April.

Mohd Nazlan juga mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan kerana memberi hujahan lisan yang komprehensif dan justifikasi lebih lanjut sepanjang dua hari pembentangan hujahan itu.

Sepanjang tujuh bulan perbicaraan itu berlangsung, pihak pendakwaan memanggil 57 saksi; beberapa saksi penting seperti bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Kementerian Kewangan Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping.

Antara fakta penting pihak pendakwaan dalam hujahan dua hari itu, anggota parlimen Pekan mempunyai pengetahuan sebenar dana SRC berjumlah RM42 juta yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya seperti yang dinyatakan dalam penyata bank dan beliau, sebagai orang nombor satu di Malaysia pada masa itu, tidak mungkin terlalu jahil bahawa dia tidak pernah mempersoalkan atau menyaman banknya walaupun telah menerima jumlah wang yang besar dalam akaunnya.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berhujah Najib secara peribadi memindahkan dana itu dan mengeluarkan cek daripada akaunnya sepanjang masa sambil menyedari bahawa ada dana lain yang menyokong kreditnya.

“Hujahan yang mendakwa tidak mengetahui dana yang dikreditkan dan cek dikeluarkan dari akaun tertuduh oleh pihak pembelaan tidak dapat diterima sebagai boleh dipercayai terutama kerana beliau adalah Menteri Kewangan Malaysia yang menguruskan kewangan negara ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur juga mendengar ahli perniagaan yang sedang dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak pernah menggunakan sebarang dana dalam tiga akaun Najib, sehubungan itu, beliau tidak memperoleh apa-apa dengan mendeposit dana dalam akaun itu.

Sithambaram berkata Najib tidak boleh mendakwa dia tidak mengetahui mengenai dana berkenaan kerana dia sentiasa bersedia untuk mengeluarkan cek-cek tersebut tanpa ragu-ragu.

Beliau berhujah dalam kes pecah amanah jenayah (CBT), kesalahan itu lengkap apabila berlaku penyelewengan yang tidak jujur berhubung RM42 juta dana SRC.

Sementara itu, Peguam Negara Tommy Thomas dalam hujahnya berkata Najib telah mengatur penipuan SRC sejak permulaan lagi, apabila dia telah mendapat manfaat selama lebih dari tiga tahun.

Bagaimanapun, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahnya sekali lagi mengulangi bahawa bukti berasaskan dengar cakap, yang dikemukakan oleh saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan itu, tidak boleh diterima.

Muhammad Shafee berkata satu kenyataan yang didakwa dikemukakan untuk dijadikan pernyataan oleh seseorang yang tidak berada di dalam kandang saksi, tidak boleh digunakan, kerana saksi hanya memberi keterangan berdasarkan sesuatu yang berlaku di hadapan mereka dan dirasakan deria mereka.

“Sebenarnya factum (pernyataan tentang fakta kes) maklumat tidak sama dengan factum kebenaran, dalam kes ini, Jho Low menyatakan bahawa dia mewakili Najib. Itu tidak boleh diterima kerana ia tidak ada kaitan dengan fikiran Najib.

“Fakta-fakta itu benar-benar salah kerana ini adalah mahkamah rekod, dengar cakap harus dikeluarkan. Yang Arif perlu tegas terhadap perkara ini,” kata Muhammad Shafee.

Ketika menutup hujahannya, Muhammad Shafee menegaskan anak guamnya tidak mempunyai niat, bersifat tidak jujur dan tidak mengetahui wang itu dari sumber haram.

“Dengan semua yang telah saya hujahkan, berhubung fakta dinamik kes ini ialah kekurangan pengetahuan mengenai sumber wang itu, ini adalah kes iaitu Yang Arif tidak perlu memanggil membela diri, hanya semata-mata untuk memuaskan rasa ingin tahu apa yang dia (Najib) mahu katakan. Itu bukan fungsi mahkamah.

Menjawab hujah itu, Sithambaram secara jenaka berkata: Saya boleh memberi jaminan kepada anda, ‘ia bukan sesuatu yang mengujakan untuk mendengarnya’.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana SRC Internatioanl Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

- Bernama

Lihat Komen