malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Karnival Deepavali: Peniaga asing guna taktik baru kaburkan penguat kuasa
ADS

Menggunakan nama syarikat tempatan dan persediaan pekerja warga tempatan antara taktik-taktik baru digunakan peniaga warga asing yang berniaga di Karnival Deepavali khususnya di Lembah Klang.

Tinjauan Malaysiakini di salah sebuah karnival Deepavali di Lembah Klang baru-baru ini mendapati kebanyakan premis perniagaan masih dikuasai oleh peniaga-peniaga warga asing.

Namun, apa yang mengejutkan nama syarikat premis mereka didaftarkan dengan sebuah syarikat tempatan yang sama.

Hampir 80 hingga 100 premis yang beroperasi di karnival tersebut menggunakan nama syarikat tempatan yang sama untuk mendapatkan kelulusan perniagaan daripada pihak penguat kuasa.

Menurut satu sumber yang pakar dalam perniagaan ini, selepas imigresen melakukan tangkapan besar-besaran terhadap peniaga warga asing di karnival-karnival lain sebelum ini, kumpulan ini menggunakan taktik baru bagi mengaburi pihak penguat kuasa.

"Selepas imigresen membuat tangkapan peniaga warga asing di satu karnival salah sebuah pusat membeli belah awal tahun ini, penganjurnya kini menggunakan nama syarikat tempatan untuk memberi ruang kepada peniaga warga asing ini berniaga di karnival Deepavali seluruh Malaysia.

"Penganjur juga standby (menyediakan) warga tempatan sekiranya adanya operasi imigresen atau pihak pengkuatkuasa yang lain, warga tempatan ini menggantikan peniaga warga asing yang berniaga di situ," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) mengatakan bahawa fenomena itu mengancam ekonomi negara.

R Maheswari, ketua jawatankuasa khas peniaga warga asing haram di MAICCI berkata, peniaga-peniaga warga asing yang berniaga di karnival-karnival ini tidak menyumbang sebarang manfaat bagi pertumbuhan ekonomi negara.

"Setiap tahun, pada musim Deepavali, peniaga-peniaga ini datang ke Malaysia dengan visa pelawat membuat perniagaan beberapa juta.

"Untung mereka di bawah pulang ke negara asal mereka tanpa membayar cukai jualan," katanya kepada pemberita dalam sidang media, pagi tadi, di Kuala Lumpur.

Tambahnya, dalam kalangan masyarakat India di Malaysia hampir karnival diadakan setiap tahun dan kesemuanya dikuasai oleh peniaga warga asing.

"Walaupun peniaga diberi peluang peratusnya bukan sangat tinggi. Ini kerana penganjur lebih memberi tumpuan kepada peniaga warga asing kerana kutipan sewa daripada peniaga warga asing lebih tinggi berbanding peniaga tempatan.

Maheswary yang juga setiausaha Pertubuhan Peniaga-Peniaga Tekstil dan Barang-Barang Am India Malaysia (MITA), meminta kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap peniaga-peniaga warga asing ini.

"Kami tidak bantah karnival Deepavali. Tapi, pilihan utama perlu diberikan kepada peniaga tempatan bukan warga asing," tegasnya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pihak penguat kuasa berkaitan perkara ini.

Lihat Komen