malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis akan dapatkan bantuan pakar sejarah sahkan kandungan komik BRI
ADS

Polis dijangka mendapatkan bantuan pakar sejarah untuk mengesahkan kandungan komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)', selain terus mengambil keterangan penulisnya, Hew Kuan Yau.

"Kita akan dapatkan pakar sejarah untuk mendapatkan kesahihan fakta sejarah dalam komik itu. Ada beberapa (pakar) yang telah kita kenal pasti.

"(Pada masa sama) Kita akan sambung rakam keterangan pengarangnya, Hew Kuan Yau. Banyak lagi soalan yang perlu ditanya," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.

Ketika ini Hew yang merupakan bekas aktivis DAP dan dua lagi individu sedang memberi keterangan di Bukit Aman.

Mengulas tentang siasatan polis, Huzir berkata polis pada Isnin lalu telah ke kilang percetakan komik itu di Shah Alam, dan mengambil keterangan dua pekerjanya.

Beliau berkata polis juga sedang membuat semakan dengan Perpustakaan Negara berkenaan pengeluaran ISBN (International Standard Book Number) untuk komik itu, dan dengan Kementerian Dalam Negeri berkenaan sama ada penerbit mendapat kelulusan untuk menerbitkannya.

Beliau memaklumkan polis menerima 46 laporan dengan 26 daripadanya dibuat di Pulau Pinang.

Diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan dan komik Asia, komik itu mencetuskan kontroversi susulan kandungannya berkenaan Malaysia dan Inisiatif Jalur dan Laluan China.

Komik itu antara lain menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uyghur yang dilaporkan ditindas kerajaan negara itu sebagai 'radikal'.

Isnin lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata bukan peranan Malaysia untuk mempromosikan ideologi dan dasar China terutama di sekolah.

"Saya percaya China akan ada pengaruh besar di masa depan. Tetapi buat masa ini, bukan (peranan) kita untuk mempomosikan ideologi China, tetapi meneliti apa yang mampu kita manfaatkan daripadanya," katanya.

Lihat Komen