malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jokowi lantik Prabowo menteri pertahanan
Diterbitkan:  Oct 23, 2019 1:53 PM
Dikemaskini: 8:38 AM
ADS

GLOBAL l| Calon pilihan raya presiden (Pilpres) 2019 yang diumum kalah Mei lalu, Prabowo Subianto hari ini diumumkan sebagai menteri pertahanan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), musuh politik yang menewaskannya dulu.

Berita mengejutkan itu didedahkan Jokowi hari ini ketika mengumumkan kabinet yang akan membantunya pentadbirannya selaku presiden untuk penggal kedua.

“Saya kira, tugas beliau saya tidak usah menyampaikan, beliau lebih tahu daripada saya," kata Jokowi seperti dipetik CNN Indonesia.

Jokowi dilaporkan berkata demikian kerana tidak membacakan ringkasan tugasan Prabowo seperti yang dilakukannya untuk empat jawatan yang diumumkan sebelumnya.

Untuk rekod, Prabowo pernah menjadi bekas jeneral tentera dan pernah dituduh melakukan jenayah keganasan oleh kumpulan hak asasi manusia, khususnya dalam pergolakan menuntut kemerdekaan Timor Timur.

Pada pilihan raya umum (Pemilu) 2019, yang julung-julung kali menyaksikan Pilpres dan Pemilihan legislatif (Pileg) diadakan serentak, Prabowo mencetuskan kontroversi dengan mendakwa berjaya menewaskan Jokowi biarpun pengiraan undi cepat meletakkan Jokowi sebagai pendahulu.

Selepas Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 21 Mei mengumumkan Jokowi secara rasmi memenangi Piplres, penyokong Prabowo merusuh di jalanan sehingga menyebabkan tujuh orang terkorban.

Ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Prabowo memfailkan petisyen mencabarnya di Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia, namun permohonan itu ditolak mahkamah pada 28 Jun, menjadikan Jokowi sebagai presiden yang sah.

Sebelum Prabowo, Jokowi turut memperkenalkan Mahfud MD sebagai Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan, Airlangga Hartarto selaku Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Muhadjir Effendy sebagai Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, serta Luhut Binsar Panjaitan selaku Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi.

Selepas itu, Jokowi terus membacakan satu persatu nama menteri dalam Kabinet Indonesia Maju 2019-2024.

Antara nama lain yang menarik perhatian ialah bekas pemilik kelab bola sepak Inter Milan, Erick Thohir yang dilantik Menteri Badan Usaha Milik Negara, serta pengasas Gojek, Nadiem Makarim selaku Menteri Pendidikan dan Kebudayaan.

Jokowi mengangkat sumpah selaku Presiden bagi penggal kedua pada 20 Oktober, dalam majlis pelantikan yang diadakan di bangunan Parlimen Indonesia, yang turut dihadiri pemimpin luar, termasuk Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Lihat Komen