malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Pada 9 Okt lalu kita dikejutkan dengan pemberhentian operasi Utusan Melayu, sebuah syarikat penerbitan surat khabar berbahasa Melayu tertua di negara ini.

Pemberhentian operasi syarikat itu menyaksikan lebih 800 bekas kakitangannya terjejas dan hilang punca pendapatan. Lebih perit lagi bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai tanggungan.

Hilang punca pendapatan sememangnya satu detik sukar, namun, apakan daya apabila syarikat sudah tidak mampu menampung kos operasi disebabkan kerugian dan hutang yang menimbun.

Nasib lebih 800 kakitangan Utusan Melayu akan ditentukan syarikat baru yang telah membeli kepentingan dalam syarikat, diharap agar ada sinar bahagia buat bekas mereka.

Memang tidak dapat dinafikan industri media bercetak bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia mengalami kemerosotan selepas ledakan media digital yang lebih pantas dalam menyalurkan maklumat pada masyarakat.

Ledakan teknologi baru sedikit demi sedikit "sedang membunuh" syarikat penerbitan akhbar, bukan saja Utusan Melayu, bahkan semua syarikat penerbitan akhbar di negara ini.

Cuma bezanya, mereka tidak mengalami kerugian yang melampau selain sempat melakukan perubahan kepada perniagaan seleras dengan perkembangan teknologi.

Selain industri media bercetak, indsutri lain turut berdepan cabaran era digital termasukah dalam pengiriman dokumen atau barangan. Bahkan, perkhidmatan pengiriman seperti Pos Malaysia dilihat semakin tidak kompetitif.

Suatu masa dulu, pada musim perayaan misalnya, peranan posmen cukup penting bagi menghantar kad-kad raya yang dikirim oleh pengguna.

Hari ini, semua itu hanya tinggal kenangan dan sejarah untuk dikenang. Generasi muda mungkin tidak dapat lagi menikmati suasana itu.

Peranan posmen masih diperlukan

Perkembangan teknologi dengan istilah "dunia di hujung jari", peranan posmen semakin hari kian dilupakan. Kad raya juga semakin pupus ditelan perkembangan media sosial khususnya aplikasi Whats App dan Facebook.

Internet, telah mengubah gaya komunikasi ataupun perhubungan masa kini. Surat menyurat tidak perlu lagi melalui posmen, memadai dengan e-mel misalnya.

Peranan posmen masih diperlukan, meskipun penggunaan mel tradisional bukan lagi keutamaan, namun permintaan terhadapnya masih tinggi.

Khususnya bagi organisasi perniagaan, kerajaan dan penghantaran dokumen-dokumen rasmi serta sebahagian urusan penghantaran tidak dapat dilakukan melalui kaedah elektronik.

Baru-baru ini Amerika Syarikat (AS) dilaporkan akan keluar daripada Universal Postal Union (UPU) dan dijangka akan memberi kesan kepada caj penghantaran antarabangsa pada masa akan datang.

Situasi ini, pastinya akan turut memberi kesan secara tidak langsung kepada Pos Malaysia.

UPU ditubuhkan sekitar 144 tahun yang lalu bagi mewujudkan kawalan dan operasi standard perkhidmatan mel tradisional. Sejak beberapa dekad lalu, AS "kurang senang" dengan sistem penentuan caj penghantaran antara negara yang tidak berubah sejak 1960-an.

AS tidak berpuas hati dengan sistem yang ada kini apatah lagi ketika perang perdagangan antara negara itu dengan kuasa dunia baru iaitu China.

Meskipun caj penghantaran meningkat, namun penentuannya menggunakan asas ekonomi 1960-an yang mensubsidikan negara-negara membangun ketika itu dan China sehingga hari ini masih mendapat kadar subsidi negara membangun.

Ini bermakna jika AS menarik diri daripada UPU setiap negara perlu berunding sendiri caj penghantaran ke negara Uncle Sam itu dan pastinya yang akan terkesan ialah pemain industri "perniagaan online" dan perusahaan kecil sederhana (PKS).

Untuk rekod berdasarkan laporan, pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019, Pos Malaysia Berhad mencatat kerugian bersih RM141.13 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya mencatat keuntungan bersih RM29.03 juta.

Kejatuhan pengguna mel tradisional sebanyak 13 peratus dengan kadar caj penghantaran domestik tidak pernah berubah sejak tahun 2010 antara penyumbang kepada kerugian yang dialami.

Ini ditambah pula dengan jumlah kawasan liputan yang semakin meningkat setiap tahun kerana pembukaan kawasan kediaman baru dan bangunan rumah kedai yang menempatkan perniagaan baru.

Penghantaran ini perlu dipikul oleh Pos Malaysia dan ini menyebabkan penambahan pelbagai kos seperti penambahan bilangan posmen dan kenderaan.

Meskipun kawasan liputan semakin banyak, hakikatnya secara bandingan gaji posmen masih kecil dan dilihat "agak kurang memadai" dengan situasi semasa negara.

Jadi, sudah tiba masanya untuk kerajaan menilai dan mengkaji caj penghantaran surat dan bungkusan Pos Malaysia supaya sepadan dengan tuntutan semasa.

Kadar ini perlu dinaikkan demi memastikan Pos Malaysia Berhad boleh melaksanakan program pembangunan baharu untuk posmen dan fasa penghantaran terakhir.

Jika perubahan tidak dilakukan segera, dibimbangi ia akan memberi beban kewangan kepada Pos Malaysia Berhad yang akhirnya membawa penutupan operasinya.

Masa depan industri ini dan ribuan pekerja dalam sektor terbabit perlu diberi perhatian agar mereka tidak "ditelan" oleh ledakan teknologi.


HASPAIZI ZAIN merupakan wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen