malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ada pihak cipta 'Kit Siang' untuk sebar kepalsuan
Diterbitkan:  Oct 23, 2019 8:54 AM
Dikemaskini: 12:54 AM
ADS

Di sebalik usaha kerajaan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar, semua pihak perlu memberi perhatian serius kepada ancaman baru terhadap keharmonian masyarakat, iaitu penyebaran berita palsu.

Setiausaha Politik Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan, berkata ancaman tersebut kini semakin serius apabila ia turut membabitkan tokoh yang dikenali ramai.

Antara yang banyak menjadi mangsa kepada kegiatan kepalsual dalam talian (online falsehoods) itu, katanya, ialah anggota parlimen Iskandar Puteri sendiri, iaitu Lim Kit Siang.

Sebelum ini, kata Syahredzan, Lim difitnah kononnya beliau menjadi ejen asing, lahir di China, akan menjadi perdana menteri sekiranya PH menang dan pelbagai kepalsuan lagi.

"Baru-baru ini, kami mendapat tahu ada beberapa akaun Twitter yang menggunakan imej Lim yang bukan saja diambil tanpa kebenarannya, malah dibuat dengan tujuan untuk menyebarkan kepalsuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syahredzan yang juga seorang peguam menambah, pihaknya akan terus memantau dan mendedahkan sebarang cubaan mengelirukan orang ramai serta menyebarkan kepalsuan dalam talian seumpama itu.

Sebelum ini pun, katanya, banyak kepalsuan dalam talian disebarkan dengan tujuan mendapat kepentingan peribadi atau politik pihak yang berkenaan.

"Contohnya, pada 11 Okt lalu, selepas Belanjawan 2020 dibentangkan, pemimpin Umno, Dr Fathul Bari Mat Jaya menciap mempersoalkan peruntukan yang kononnya lebih sedikit untuk usahawan Melayu berbanding usahawan kaum lain.

"Beliau juga memuat naik imej palsu berkenaan peruntukan tersebut, walhal sebenarnya peruntukan untuk usahawan Melayu jauh lebih banyak, dan ia boleh disahkan dengan mudah dengan membuat carian atas talian," katanya.

Tidak ketinggalan, kata Syahredzan, ada pihak sengaja menyebarkan imej Jalur Gemilang yang dikibar secara terbalik dan mendakwa ia didalangi kaum tertentu.

Sedangkan, katanya, kejadian tersebut sudah lama berlaku namun ia ditularkan semula.

"Atas kesedaran ini, saya menggesa semua pihak - termasuk kerajaan, individu dan pihak korporat - untuk bersama-sama berganding bahu menentang ancaman kepalsuan dalam talian ini.

"Sebagai individu, kita harus saling ingat-mengingati untuk menyemak fakta sebelum menularkan sesuatu isu.

"Sektor swasta pula boleh mempromosikan penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab agar kepalsuan berkenaan tidak tidak menyebabkan perpecahan masyarakat dan menggugat keharmonian negara," katanya.

Lihat Komen