malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri akan ambil kedatangan MP di sidang Parlimen
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata beliau akan mula mengambil kehadiran anggota parlimen di sidang Dewan Rakyat.

Ia selepas sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selama 10 minit pada 17 Oktober lalu ekoran jumlah anggota parlimen yang hadir tidak mencukupi jumlah yang ditetapkan.

"Saya telah maklumkan kepada semua anggota parlimen bahawa peraturan kehadiran dan prestasi dalam Dewan Rakyat kena dipertingkatkan.

"Saya juga akan mengambil kehadiran anggota parlimen dan memantau prestasi mereka. Semua laporan ini akan diberi kepada ketua whip parti masing-masing dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad," katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.

Terdahulu hari ini, Mahathir berkata beliau sudah memberi amaran kepada anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) agar hadir ke Dewan Rakyat semasa perbahasan Belanjawan 2020.

“MP lain kadang ada kadang mereka tidak dalam dewan. Tapi siapa ada dalam bangunan ini (parlimen), mereka boleh dipanggil dengan goncang loceng.

“Dan kita bagi amaran kepada mereka supaya hadir,” kata Mahathir.

Mengulas lanjut, Liew yang juga anggota parlimen Batu Sapi berkata kehadiran menteri dan timbalan menteri - antara lain untuk menjawab soalan dari angota parlimen - juga akan diperbanyakkan.

"Hari ini saya sudah berjumpa dengan ketua whip Warisan dan PH. Mereka telah beri komen dan candangan.

"Jadi esok saya akan edarkan (makluman tentang) peraturan, jadual dan hal-hal lain (yang berkaitan)," katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun turut menjelaskan bahawa bagi menteri, jadual kehadiran mereka ke sidang Parlimen sudah ditetapkan.

“Kita memang ikut jadual, macam menteri diberi jadual hari apa yang perlu hadir dan itu kita ikut.

"Peringatan sudah diberi dan bukan untuk (anggota parlimen) kerajaan sahaja. Semua orang perlu jalankan tanggungjawab kerana mereka ialah anggota parlimen yang dilantik untuk menghadiri sidang (Parlimen)," katanya lagi.

Lihat Komen