malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bicara exco Perak atas tuduhan rogol bermula secara tertutup
Diterbitkan:  Oct 22, 2019 6:12 PM
Dikemaskini: 10:12 AM
ADS

Perbicaraan kes rogol yang melibatkan Exco kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong di Mahkamah Sesyen di Ipoh pada 11 Nov ini, akan bermula dengan prosiding secara tertutup.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu setelah dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding pengurusan kes itu hari ini.

Mangsa, pembantu rumah warga Indonesia berumur 23, akan menjadi saksi pertama perbicaraan kes itu.

Norashima juga membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya perbicaraan diadakan selama empat hari iaitu pada 11, 13, 14 dan 15 Nov, berbanding lima hari yang ditetapkan sebelum ini kerana Yong perlu menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Nov.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar memohon agar hari pertama perbicaraan kes itu yang ditetapkan pada 11 Nov dijalankan secara persidangan video, tetapi dibantah peguam yang mewakili Yong, Datuk Rajpal Singh atas alasan mangsa bukan di bawah umur.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju perbicaraan dijalankan dengan hanya kehadiran pihak berkaitan selain tertuduh dan mangsa, di hadapan hakim, jurubahasa, peguam, timbalan pendakwa raya dan peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Yong turut diwakili peguam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan Farhan Sapian.

Pada 23 Ogos lepas, Yong, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya itu di sebuah rumah di Meru Desa Park, antara 8.15 malam dan 9.15 malam, 7 Julai.

Sementara itu, Wakil Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia, Shabda Thian ketika ditemui di luar mahkamah berkata keadaan mangsa bertambah baik walaupun masih trauma.

Beliau berkata ibu mangsa sering meminta untuk membawa anaknya pulang ke Indonesia namun perlu menunggu perbicaraan kes itu selesai.

- Bernama

Lihat Komen