malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Konflik MyPPP: Kayveas dicabar segera umum tarikh pemilihan
ADS

Bekas naib presiden kanan MyPPP Maglin Dennis D'Cruz mendakwa M Kayveas sengaja mengelirukan media berhubung isu yang dihadapi parti itu.

Sebaliknya, D'Cruz mencabar Kayveas, yang mendakwa jawatan presiden parti masih miliknya, segera mengadakan pemilihan parti.

"Berhenti mengelirukan media dan orang ramai, segera adakan pemilihan parti MyPPP," katanya.

Menurut D'Cruz, tindakan Kayveas mengadakan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi (CWC) parti itu sebagai tidak sah dan bercanggah dengan arahan diberikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Kenapa saya kata ia tidak tidak sah? Pertama ROS hanya membenarkan jawatankuasa parti dari penggal 2014-2019 untuk melantik pihak ketiga yang berkecuali bagi melaksanakan pemilihan parti sebelum 31 Disember.

"Yang kedua, dalam tempoh proses ini tidak siapa mempunyai kuasa untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti lain," katanya kepada Malaysiakini.

D'Cruz yang juga bekas timbalan menteri berkata bahawa kedua-dua syarat ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin parti tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat CWC.

"Tindakan Kayveas jelas tidak mengikut arahan RoS," jelas Maglin sambil menambah bahawa mesyuarat pada 20 Oktober itu tidak cukup korum.

"Jumlah ahli CWC dari penggal 2014 hingga 2019 yang hadir ke mesyuarat itu hanya empat orang sahaja termasuk Kayveas daripada jumlah 33 orang. Itu sudah jelas mesyuarat itu tak cukup korum.

"Jadi, saya minta Kayveas jangan kelirukan media dan orang ramai. Kalau berani umum tarikh pemilihan," tegasnya.

Menurutnya, beliau dan anggota CWC yang lain sedia memberi ruang kepada Kayveas sekiranya beliau menang dalam pemilihan parti.

MyPPP menghadapi krisis selepas Kayveas mengumumkan bahawa parti tersebut keluar daripada gabungan BN, selepas dinafikan bertanding pada PRU ke-14.

Susulan itu, beliau dipecat oleh majoriti ahli CWC. Namun, Kayveas mempertikaikan keputusan tersebut dan kedua-dua pihak meminta ROS mencelah.

Terdahulu, pada 7 Oktober, ROS memberi kelulusan bersyarat kepada MyPPP yang dibatalkan pendaftaran selepas isu domestik sebelum PRU ke-14 yang lalu.

Antara syarat yang diletakkan ialah parti tersebut perlu bermesyuarat untuk menubuhkan satu badan bebas bagi mengawal dan mengadakan pemilihan parti sebelum 31 Disember.

ROS turut menyatakan bahawa jawatankuasa parti bagi penggal 2014-2019 bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu pertikaian parti.


Lihat Komen