malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Komuniti India tak boleh hanya bergantung pada k'jaan
ADS

Lebih kurang 70 peratus masyarakat India di Malaysia masih berada di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan seisi keluarga tidak melebihi RM3,000 tidak seharusnya menjadi alasan kepada komuniti tersebut terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Sebaliknya, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, kaum India mesti menceburi perniagaan dan juga peluang yang terdapat di sektor swasta.

Bagaimanapun, jelas Xavier, Kerajaan Pakatan Harapan masih perlu berkerja keras untuk memastikan masa depan kaum India terjamin.

"Jumlah kita (masyarakat India) sangat kecil. Hanya dalam tujuh peratus. Dan dalam masa akan datang ia tetap akan berkurang. Tapi, daripada jumlah kecil ini lebih kurang 70 peratus, di mana pendapatan isi rumahnya di bawah RM3,000 sahaja.

"Tapi, kita tidak boleh selalu bergantung kepada bantuan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama media sempena perayaan Deepavali di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, masyarakat India di Malaysia tidak boleh bergantung kepada peluang pekerjaan daripada kerajaan.

"Jangan fikir pasal kerajaan. Ada banyak peluang di sektor swasta.

"Kerajaan mengambil keputusan untuk melarang pekerja asing di sektor gunting rambut dan dobi. Belia kita mesti mengambil manfaat daripadanya.

"Apa salah membuat perniagaan gunting rambut?" katanya.

Xavier yang juga naib presiden PKR berkata bahawa beliau sebagai seorang pemimpin India memahami harapan masyarakat India terhadap PH.

"Kami tahu anda (kaum India) sokong PH dengan harapan yang tinggi. Saya mengakui," katanya.

Namun, katanya, jangka masa yang pendek tidak sesuai untuk memenuhi harapan.

"Jangan fikir nak tukar kesemuanya pada keesokan hari. Ia akan mengambil masa. Kami juga membuat pelbagai usaha," jelas beliau sambil menambah bahawa Kerajaan PH akan tunaikan janji kepada masyarakat India.

Lihat Komen