malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lynas mohon naik had proses bahan nadir bumi
Diterbitkan:  Oct 22, 2019 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM
ADS

Kerajaan belum meluluskan permohonan Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk menaikkan had memproses lantanid bertumpu (landthanide concentrate) untuk 2019.

Dalam laporan suku tahun bertarikh 30 September, Lynas berkata kilang nadir buminya di Gebeng, Kuantan kini beroperasi dengan kadar yang dikurangkan.

"Kami terus bekerja bersama regulator Malaysia untuk mendapatkan kelulusan bagi peningkatan pengeluaran berdasarkan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang baru berkaitan perkara ini, yang kami siapkan awal tahun ini," kata Lynas.

Kata Lynas, pengeluaran bagi separuh kedua 2019 pada kadar yang dikurangkan, berbeza ketika 2018 apabila ia terpaksa menutup operasi kilang pada Disember tahun itu selepas kerajaan enggan meningkatkan had pemprosesan.

"Ini strategi berbeza daripada 2018. Pada 2018, kami mengekalkan kadar maksimum dan kemudian menutup kilang pada Disember 2018," katanya.

Lynas berkata kilang di Gebeng akan mengeluarkan neodymium dan praseodymium - bahan utama untuk magnet kekal - pada jumlah yang sama dengan 2018.

"Kapasiti kami untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap lantanum kekal ketat, yang membenarkan kami memaksimumkan nilai produk," kata syarikat itu.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan jumlah tambahan bahan mentah nadir bumi yang dipohonnya untuk diimport dari Australia.

Pada 15 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan lanjutan lesen operasi Lynas dengan syarat syarikat itu mengemukakan rancangan pembinaan dan kewangan untuk kemudahan kekal untuk menyimpan sisa radioaktifnya.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) juga menetapkan Lynas untuk memindahkan operasi 'cracking and leaching' - yang mengeluarkan sisa radioaktif - ke luar negara dalam masa empat tahun.

Sementara itu, Lynas menyuarakan kekecewaan terhadap keengganan kerajaan meningkatkan had proses lantanid bertumpunya.

Pengarah Urusan Kumpulan Lynas Amanda Lacaze bagaimanapun menolak kemungkinan syarikat itu menuntut pampasan daripada kerajaan melalui jalan undang-undang.

Dipetik Australian Financial Review, beliau berkata syarikat itu tidak mahu "menambah konflik dengan kerajaan".

Lihat Komen