malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Peruntukan masa p’raya kecil cuma kebetulan
ADS

Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan kerajaan menjelang pilihan raya kecil (PRK) di Tanjung Piai di Johor.

Kata perdana menteri memang menjadi amalan kerajaan, pengumuman mengenai sesuai projek atau peruntukan dibuat dari semasa ke semasam.

Mengenai Tanjung Piai, kata beliau, kerajaan meneruskan urusan pentadbiran seperti biasa kerana proses pengumuman calon untuk bertanding dalam PRK itu belum berlaku.

“Sebelum dinamakan calon, kerajaan menjalankan tugas biasa.

“Waktu mana pun (kita) buat peruntukan, tetapi (sewaktu kita) buat peruntukan (baru-baru ini), secara kebetulan ada PRK di situ,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan pertubuhan pemantau dan pembangkang yang berasa tidak sepatutnya kerajaan mengumumkan peruntukan menjelang PRK pada 16 Nov ini.

Antaranya, ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob yang mengecam PH kerana didakwanya 'membeli undi' menjelang PRK berkenaan.

Tak baik tawar bantuan

Katanya, kerajaan mempunyai masa satu setengah tahun untuk mengumumkan sebarang peruntukan tetapi mereka hanya melakukannya sekarang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon ialah pada 2 Nov.

PRK berkenaan diadakan ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Mohdd Farid Md Rafik, pada 21 Sept lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pada 13 Okt mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan - termasuk pembinaan sebuah dewan - di Kukup, Tanjung Piai.

Zuraida berkata peruntukan berkenaan diluluskan lebih awal dan beliau hanya ke sana bagi memastikan kerje-kerja terus berjalan walau setelah kematian Mohd Farid.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga memberi hujah sama ketika mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menambah baik kemudahan sukan dan reakreasi di Tanjung Piai pada Sabtu lalu.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan RM14.6 juta yang dimohon Mohd Farid sebelum ini.

Semalam pula, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, mengumumkan dana RM3 juta untuk menambah baik tiga jeti di Tanjung Piai, dan sekali lagi dikatakan ia untuk memenuhi permohonan Mohd Farid.

Sementara itu, ditanya mengapa tidak mengumumkan peruntukan tersebut selepas PRK, Mahathir, adalah lebih baik hal itu dinyatakan sekarang dan bukannya semasa kempen berjalan.

“Kalau kita dah umum dan sedang ada kempen-kempen itu tidak baik kalau tawar apa-apa bantuan.

“Tetapi pada kebiasaannya, memang ada rancangan-rancangan, tapi sebolehnya, tidak guna rancangan ini digunakan sebagai umpan untuk menarik sokongan,” katanya. 

Lihat Komen