malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AG dapat kebenaran mula prosiding komital ke atas Lokman Adam
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital ke atas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.

Ini berhubung dua ugutan yang dibuat oleh pemimpin Umno itu terhadap Amhari Efendi Nazaruddin, seorang bekas pegawai khas bekas perdana menteri Najib Razak.

Amhari Efendi Nazaruddin

Hakim, Collin Lawrence Sequerah, mengeluarkan perintah berkenaan dalam prosiding terbuka di mahkamah pagi ini.

"Pemohon hendaklah memfailkan notis usul berhubung prosiding menghina mahkamah dalam masa 14 hari bermula hari ini," kata Hakim Sequerah.

Responden Lokman tidak hadir kerana ini adalah permohonan ex-parte oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) yang bertindak bagi pihak Thomas, di mana hanya pihak pemohon hadir semasa prosiding.

[Baca berita penuh]

Terdahulu, Bernama melaporkan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kanan, Gopal Sri Ram yang mewakili Peguam Negara berkata jelas terdapat percubaan untuk mengganggu pentadbiran keadilan oleh responden pada peringkat prima facie.

"Kami berhujah bahawa alasan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding komital telah dipenuhi disebabkan percubaan jelas oleh Lokman untuk mengganggu dalam melaksanakan keadilan," kata Sri Ram.

Sri Ram berhujah bahawa responden bukan sahaja membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi tetapi juga mengadakan temubual melalui video apabila dia didakwa menyerang integriti Peguam Negara.

Pada 10 Okt, Peguam Negara memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap Lokman kerana perbuatannya sebanyak dua kali pada 25 Sept yang menghina mahkamah.

Lokman tidak hadir di mahkamah kerana ini adalah aplikasi ex-parte (sebelah pihak) dan mahkamah mendengar penghujahan dari pihak Peguam Negara.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya responden dipenjarakan atau didenda kerana menghina pada 25 Sept.

Peguam Negara berkata pada tarikh itu (25 Sept) responden dalam temu bual video menuturkan perkataan yang berbaur ancaman atau membawa maksud untuk menggugut saksi, Amhari Efendi yang merupakan pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak kerana memberi keterangan terhadap dituduh dalam perbicaraan kes pendakwa raya lawan Najib di Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara berkata responden bertindak menyiarkan rakaman video pada perbicaraan mendengar permohonan bagi kebenaran dan pada perbicaraan usul substantif jika permohonan tersebut dibenarkan.

Beliau berkata pada hari yang sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pendakwaan berkenaan keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib yang sedang berjalan.

Objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan menggugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan, kata Peguam Negara.

Beliau berkata perbuatan intimidasi terhadap saksi merupakan gangguan terhadap pelaksanaan keadilan dan oleh itu ia adalah perbuatan menghina mahkamah yang serius.

Lihat Komen