malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, hari ini mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas didakwa dengan 33 tuduhan di Mahkamah Masjitret Shah Alam.

Nasharudin yang sebelum ini pernah menjadi anggota parlimen sebanyak dua kali dituduh terbabit secara tidak langsung dalam tiga pengubahan wang haram, serta 30 kesalahan pecah amanah.

Jumlah wang yang terlibat bagi semua pertuduhan tersebut hampir mencecah nilai RM4 juta.

Untuk tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, beliau didakwa menyalurkan dana hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang berjumlah RM302,069.60 - daripada Kementerian Kewangan untuk Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) - kepada tiga penerima lain melalui akaun syarikat miliknya, Wasatiyyah Centre For Peace Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Nasharudin pada Nov dan Dis 2018, iaitu kira-kira tiga bulan selepas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, mengarahkan operasi GMM ditamatkan.

Nasharudin dilantik sebagai pengerusi eksekutif (CEO) GMM pada 28 Okt 2015 sehinggalah operasi organisasi itu ditamatkan pada 31 Jul 2018.

Sementara itu 30 tuduhan pecah amanah dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Tuduhan itu didakwa dilakukan Nasharudin di antara 2015 dan 2018.

Cadang ikat jamin RM1.5j

Diamanahkan untuk menguruskan aset Yayasan Nassar, Nasharudin dituduh - antara lain - secara curang membuat bayaran sebanyak RM51,000 pada 22 Ogos 2016 sebagai bayaran fi katering majlis perkahwinan anak lelakinya.

Beliau juga - pada 1 Feb 2018 - dituduh secara curang membuat bayaran sebanyak RM25,756 kepada sebuah kolej swasta tempatan sebagai yuran pembelajaran anak lelakinya, selain menawarkan RM34,000 sebagai pinjaman kepada anak perempuannya.

Nasharudin juga dituduh menerima bayaran sebanyak RM321,274 sebagai gaji sebagai pengerusi Yayasan Nassar antara 2015 dan 2018.


Baca Nasrudin, Mokhtar Senik beri keterangan di SPRM


Selain itu beliau didakwa menggunakan wang lebih setengah juta ringgit milik yayasan berkenaan untuk membeli beberapa unit lot kedai di Bandar Baru Bangi.

Sebagai CEO GMM, bekas anggota parlimen Bachok itu pula dituduh menyalurkan geran penyelidikan sebanyak RM2.6 juta untuk NGO berkenaan kepada syarikatnya, Wasatiyah Centre for Peace Sdn Bhd.

Pertuduhan itu dibacakan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai dan Mohd Zaki Mohd Salleh di depan hakim Rozilah Salleh.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zaki Mohd Salleh, menawarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi tuduhan berkaitan pengubahan wang haram, dan RM500,000 untuk dakwaan pecah amanah.

Katanya, mahkamah perlu meletakkan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi sebelum menetapkan jumlah ikat jamin ke atas Nasharudin.

Sementara itu peguam bela tertuduh, Mat Yunus Shariff, meminta kadar itu dikurangkan kepada RM150,000 untuk semua 33 tuduhan.

Kata peguam terbabit, Nasharudin memberikan kerjasama baik kepada SPRM sejak disiasat pada Jan lalu.

Semua akaun bank persendirian tertuduh serta akaun Yayasan Nassar juga, kata Mat Yunus, sudah dibekukan pihak berkuasa.

"Anak guam saya tidak dapat menyediakan jumlah tersebut (RM1 juta).

"Oleh sebab itu kami meminta mahkamah menetapkan jumlah yang lebih rendah dan kami mencadangkan RM150,000 bagi semua 33 pertuduhan," katanya.

Mat Yunus juga memberitahu mahkamah, Nasharudin kini bergantung kepada gaji bulanan sebanyak RM4,700 serta pencen isterinya sebanyak RM3,469.

Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan Nasharudin diikat jamin sebanyak RM330,000 dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Rozilah kemudian menetapkan 28 Nov ini untuk sebutan kes berkenaan.

 

Lihat Komen