malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suapan RM3 juta untuk Isa Samad sebagai 'dana politik' - Saksi
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini bahawa bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad meminta RM3 juta sebagai 'dana politik' melalui bekas pembantu khasnya, Muhammad Zahid Md Arip sebagai balasan kerana membantu penjualan Hotel Merdeka Palace milik Gegasan Abadi Properties (GAP).

Ikhwan Zaidel, bekas ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi yang merupakan saksi ke-16 memberi keterangan dalam perbicaraan salahguna kuasa dan rasuah Isa Samad yang melibatkan RM3 juta dalam urusan pembelian Hotel Merdeka oleh Felda Investment Corporation (FIC).

"Saya sering ke Kuala Lumpur untuk menyertai perbincangan penyediaan perjanjian jual beli antara GAP dan FIC. Saya ada beberapa kali berjumpa Zahid Md Arip."

"Di mana satu perjumpaan di Restoran Binjai, Zahid maklumkan kepada saya bahawa "Tan Sri merupakan orang politik". Oleh itu beliau memerlukan dana bagi kerja-kerja politik," kata Ikhwan.

Menurut Ikhwan, "Tan Sri" yang disebutkan oleh Zahid adalah merujuk kepada Isa Samad kerana Zahid merupakan pegawai khas kepadanya.

"Saya tidak ada pilihan dan akur dengn permintaan Tan Sri Isa Samad yang disampaikan melalui Zahid kerana sekiranya tidak mengakur kemungkinan Tan Sri Isa akan melengahkan pembayaran kepada Gegasan Abadi," kata Ikhwan sambil menambah bahawa ketika itu Zahid tidak menyebut jumlah yang diperlukan.

"Saya juga faham bahawa permintaan wang daripada Tan Sri Isa melalui pegawainya adalah untuk Tan Sri Isa sendiri sebagai upah kepadanya kerana membantu pembelian Hotel Merdeka," tambahnya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Terdahulu, bekas ketua pegawai eksekutif Mohd Zaid Abdul Jalil memberitahu mahkamah bahawa lebihan RM7 juta adalah 'goodwill' yang dicadangkan oleh Isa Samad sendiri.

Isa Samad minta 'advance'

Sementara itu, Ikhwan turut memberi keterangan bahawa pada awal Julai 2014, Zahid menghubungi beliau meminta agar dapat berikan 'advance' (pendahuluan) berjumlah RM100,000 untuk kegunaan Isa Samad.

"Saya akur dengan permintaan itu. Ketika itu Gegasan Abadi belum lagi terima apa-apa bayaran daripada FIC.

"Saya beritahu Zahid bahawa akan usahakan mendapatkan dana tersebut," katanya sambil mengesahkan dalam permintaan pendahuluan ini adalah selepas Zahid meminta RM3 juta daripada Gegasan Abadi.

Katanya, selain Ibrahim Baki yang juga merupakan ahli lembaga Gegasan Abadi, ahli yang lain tidak diberitahu tentang suapan 'dana politik' itu.

"Ini kerana lembaga Gegasan Abadi tiada hasrat untuk membayar kepada Tan Sri Isa," katanya.

"Permintaan Tan Sri Isa juga tidak dibawah dan dibincangkan kerana saya mengetahui ahli lembaga Gegasan Abadi tidak akan setuju dengan permintaan ini.

"Oleh itu, saya dan Ibrahim Baki perlu mencari jalan lain untuk memenuhi permintaan Tan Sri Isa," tambah Ikhwan.

Perbicaraan akan bersambung dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada Khamis.

Lihat Komen