malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jika PH bubar, perasuah akan terlepas - Kit Siang
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 6:26 PM
Dikemaskini: 12:34 PM
ADS

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memberi amaran bahawa usaha untuk membubarkan kerajaan Pakatan Harapan pasti akan menyebabkan kleptokrat dan individu korup lain melepaskan diri daripada diadili di mahkamah.

Pada ucapan yang disampaikan di Bintulu, Sarawak malam tadi, Lim berkata matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia negara maju tidak dapat dicapai pada tempoh yang dirancang sebelum ini.

Jelasnya, dalam usaha untuk menggerakkan Malaysia ke arah kemajuan rakyat perlu memastikan bahawa kleptokrat pada masa lalu perlu diadili supaya Malaysia boleh "menjadi negara peneraju integriti."

"Inilah sebab penting kenapa pihak yang mahukan kehidupan yang lebih baik di masa hadapan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau wilayah, perlu bersatu supaya memastikan perang terhadap kleptokrasi dan rasuah diteruskan bagi mencapai matlamatnya yang munasabah.

"Ini hanya dapat dicapai jika kerajaan PH tetap utuh, tegas dan komited untuk mencapai matlamat sebuah negara yang bersatu, adil, demokratik, harmoni dan tidak korup," kata Lim, menurut satu salinan ucapannya yang disediakan kepada akhbar hari ini.

Lim berkata Malaysia mesti berada di peringkat teratas 30 negara di dunia dari segi integriti dalam jangka masa satu dekad dan mendesak semua pihak untuk bekerja sama ke arah matlamat ini.

"Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang bertanya mengapa bekas perdana menteri, Najib Razak, yang ditanggapi di seluruh dunia sebagai kleptokrasi global, belum lagi dipenjarakan.

"Bagaimanapun, kita mesti konsisten mahu memulihkan kedaulatan undang-undang dan rakyat Malaysia mesti menerima proses undang-undang yang wajar mengambil masa," katanya.

Pada Selasa, Pemimpin tertinggi empat parti gabungan PH mengeluarkan kenyataan menuduh Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein berkomplot membentuk kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Pemimpin PH pula mendakwa pembangkang yang terlibat dalam komplot itu sedang berdepan kemungkinan akan didakwa.

Hishammuddin telah menafikan dakwaan tersebut walaupun pelbagai sumber memberitahu Malaysiakini MP Sembrong serta dua tokoh Bersatu dan pemimpin PKR terlibat dalam usaha yang dikatakan itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen