malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS tak anggap MIC sokong pengganas
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 1:36 PM
Dikemaskini: 5:44 AM
ADS

PAS tidak menganggap MIC menyokong keganasan ekoran langkah parti untuk kaum India itu memberikan bantuan khidmat guaman kepada suspek penyokong pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata tindakan mana-mana pihak menyediakan bantuan guaman atau khidmat peguam kepada seseorang suspek bertujuan memberikan mereka hak selaras dengan peruntukan undang-undang.

Takiyuddin yang juga seorang peguam berpengalaman berkata mengikut prinsip sedia ada, seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sehinggalah ia dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

Mengenai isu penyokong LTTE yang ditahan pihak berkuasa, Takiyuddin berkata, sehingga kini tiada seorang pun anggota MIC yang ditangkap.

Justeru, katanya, PAS menganggap langkah MIC - yang kini menjadi salah satu sekutu rapat parti berkenaan - tidak wajar digambarkan sebagai menyokong keganasan.

"Bagi PAS langkah memberi khidmat peguam adalah bagi memastikan seseorang yang ditahan mendapat haknya seperti dijamin undang- undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, polis menahan tujuh individu termasuk exco Melaka, G Saminathan, dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran, kerana didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.


Baca PAS bukan parti radikal, kata MIC


Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Khas (Langkah-Langkah Keselamatan). Lima lagi ditahan hari ini menjadikan jumlahnya seramai 11 orang.

Susulan itu MIC menawarkan khidmat guaman kepada suspek terbabit selepas presidennya menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan tersebut. 

Kata Takiyuddin, sekiranya suspek berkenaan kemudian dibuktikan bersalah dan disabitkan oleh mahkamah, maka ketika itu semua pihak perlu akur dan menyerahkannya kepada proses undang-undang untuk dilaksanakan.

Pada masa sama anggota parlimen Kota Bharu itu menggesa kerajaan mengemukakan kertas putih di Parlimen mengenai kegiatan berbentuk sokongan kepada aktiviti keganasan di negara ini.

Katanya langkah tersebut sesuai dengan keperluan kepentingan awam dan keselamatan negara.

"Ia supaya mana-mana pihak - terutama pimpinan politik yang memesongkan pemikiran rakyat - dapat dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya," katanya.

Untuk rekod Malaysia menyenaraikan LTTE - yang berjuang untuk kepentingan kaum India di Sri Lanka dan mahukan kemerdekaan bagi negeri Tamil Eelam - sebagai salah satu pertubuhan pengganas.

Langkah sama turut diambil lebih 30 kerajaan lain di seluruh dunia.

Lihat Komen