malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
TMJ: Universiti bukan tempat sebar ideologi politik
Diterbitkan:  Oct 19, 2019 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM
ADS

Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bertitah universiti bukan tempat untuk menyebarkan ideologi politik.

"Pemangku Raja bertitah menegaskan universiti merupakan institusi untuk mencari serta menyampaikan ilmu, dan bukannya tempat untuk menyebarkan ideologi demi kepentingan individu dan politik," titah baginda pada hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Tunku Ismail yang juga Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-19 UTHM di Dewan Sultan Ibrahim, Batu Pahat hari ini.

Tunku Mahkota menjelaskan terdapat segelintir pihak di negara ini yang memutarbelitkan fakta.

"Pemangku Raja bertitah, pelbagai situasi berlaku di negara ini sehingga ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memutarbelitkan fakta, mereka cipta cerita atau menukarkan suatu kesalahan kepada kebenaran," titah baginda lagi.

Seramai 4,699 graduan akan menerima ijazah masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen Ke-19 UTHM yang bermula hari ini sehingga 21 Oktober depan.

Pada konvokesyen UTHM ini juga, Tunku Ismail turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Institusi Diraja) kepada Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dr Abdul Rahim Ramli.

Lihat Komen