malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Piagam Muafakat Nasional hasil usaha 21 tahun, kata Zahid
ADS

Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS adalah hasil daripada proses yang berjalan selama 21 tahun yang turut melibatkan satu "misi menyelamat", kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Berkenaan usaha mendekatkan dua parti yang dahulunya berseteru itu, Zahid mengimbas kembali ketika beliau pertama kali membangkitkan perkara itu dalam satu ucapan di Darul Syifa - milik bekas mursyidul am PAS Allahyarham Dr Haron Din - pada 1998.

"Secara peribadi saya ambil masa 21 tahun untuk wujudkan peristiwa 14 September (program Himpunan Penyatuan Ummah)...Bukan mudah untuk mereka menerima kita, bukan mudah," katanya ketika merasmikan konvensyen tahunan Umno Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau menggesa pemimpin dan anggota Umno untuk mengenepikan perbezaan dengan PAS dan berusaha untuk menang kembali di Selangor pada PRU akan datang.

Menceritakan hubungannya dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Zahid berkata beliau pernah mengarahkan seorang pemandu dari Tabung Haji untuk "menyelamatkan" anggota parlimen Marang itu dan sembilan lagi pemimpin PAS pada masa itu yang terkandas di sebuah hotel di Jeddah selama lima hari ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan Haji di Mekah.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sebab mereka terkandas di situ.

"Pak Lah (Abdullah Badawi) yang ketika itu perdana menteri memohon kepada duta kita, tak lepas. Ketika itu saya ada di Mekah dan saya 'lepaskan' Hadi. Saya tak ada kuasa...tapi siapa bantu saya?

"Bukan kounsel haji, bukan duta. Tetapi hanya seorang pemandu Tabung Haji," katanya yang ketika itu menjadi menteri dalam negeri dan turut mengerjakan Haji pada masa itu.

Katanya lagi, beliau juga secara peribadi menemui Hadi di rumahnya di Rusila, Terengganu, untuk berunding agar PAS memberi laluan kepada Lokman Noor Adam untuk bertanding di Sungai Kandis - PRK pertama selepas PRU ke-14.

Walaupun tewas kepada Pakatan Harapan (PH), Zahid berkata ia menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-dua parti yang membawa kepada beberapa kemenangan dalam PRK seterusnya.

"Apa jadi selepas (PRK) Seri Setia? Halimah Ali (dari PAS) jadi calon. Mereka (PAS) berubah sikap (selepas) jentera kita bergerak seolah-olah kita bertanding," kata bekas timbalan perdana menteri itu lagi.

'Belajar daripada PAS'

Zahid juga sekali lagi menggesa agar Umno belajar daripada PAS, selari dengan kedudukannya yang kini sebagai pembangkang di peringkat persekutuan.

Antaranya anggota Umno perlu membincangkan cara memenuhi kehendak 'rohani' rakyat, bukan hanya kemudahan dan projek fizikal.

Menjelang PRU ke-14, katanya lagi, Umno Selangor menerusi pengerusinya Noh Omar - juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan ketika itu - terus menyediakan pelbagai kemudahan menerusi peruntukan persekutuan.

"Tetapi kita tetap menang lima kerusi saja (di Selangor)," katanya, sambil menegaskan Umno perlu mengemukakan tawaran baru kepada rakyat yang menurutnya tidak berpuas hati dengan PH tetapi pada sama tetap tidak menyukai BN.

Beliau juga menggesa anggota parti itu agar berhenti bergantung kepada pemimpin parti untuk mendapat dana dalam menjalankan program, selain mengenepikan kepentingan peribadi demi parti.

Turut hadir di konvensyen hari ini ialah pemimpin Umno Selangor dan pusat termasuk Timbalan Presiden Mohamad Hasan; Ketua Penerangan Annuar Musa; Ketua Wanita Noraini Ahmad; Ketua Pemuda Dr Ashraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahalan.

Lihat Komen