malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tarik balik laporan polis jika UM ikhlas pertahan kebebasan bersuara'
ADS

Graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke mendesak universiti itu agar menarik balik laporan polis yang dibuat ke atas dirinya bagi membuktikan komitmen institusi pengajian tinggi itu terhadap kebebasan bersuara.

Wong juga pada masa sama meminta naib canselor universiti berkenaan, Abdul Rahim Hashim tampil dan membuat penjelasan mengenai ucapan didakwa berbaur perkauman ketika Kongres Maruah Melayu (KMM) sebelum ini.

Terdahulu hari ini Pengerusi Lembaga Pengarah UM Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan Wong yang melakukan protes ketika majlis konvokesyen pada Isnin lalu.

Dalam kenyataan tersebut, beliau menegaskan UM sentiasa mendukung kebebasan akademik dan kebebasan bersuara, namun tindakan dilakukan Wong tidak menghormati istiadat konvokesyen yang diraikan ibu bapa dan tetamu yang hadir.

Susulan daripada kenyataan itu, Wong meminta agar pengurusan UM bertindak seperti apa yang diucapkan mereka.

"[...] Saya rasa mereka tak harus cakap dan keluarkan statement sahaja.

"Tetapi mereka harus ambil tindakan iaitu menarik balik laporan polis yang dibuat kepada saya.

"Mereka harus mengambil tindakan ini untuk menunjukkan keikhlasan mereka bahawa mereka memang nak pertahankan hak kebebasan bersuara," katanya dalam sidang media hari ini.

Pihak polis kini sedang menyiasat Wong di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

'Protes hanya lima saat'

Graduan kejuruteraan itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan UM yang menuduhnya mengganggu upacara konvokesyen itu.

Katanya, protes yang dilakukan di atas pentas itu hanya berlaku selama beberapa saat sahaja.

"Kalau semua dapat pergi tengok video siaran langsung di laman sesawang UM semasa sidang kelima, saya hanya berdiri di sana laungkan slogan selama lima saat sahaja.

"Selepas itu, majlis masih berlangsung dengan baik dan hadirin masih bergembira," katanya.

Wong pada masa sama berpendapat pihak universiti cuba mengalihkan perhatian orang ramai daripada tuntutan yang dilakukannya kepada cara dia melakukan tuntutan tersebut.

Selepas menerima skroll konvokesyen pada Isnin lalu, Wong membuka plakad dan melaungkan slogan “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Video yang memaparkan tindakannya itu kemduian tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.

'NC perlu berhenti berselindung di belakang penyokong'

Wong mendakwa melakukan protes itu berpunca daripada ucapan Abdul Rahim pada 6 Okt ketika menghadiri Kongres Maruah Melayu.

Dalam ucapannya, Abdul Rahim mendakwa kuasa dominan politik Melayu semakin berkurang dan kedudukan istimewa orang Melayu dipersoalkan sejak pasca PRU14.

Abdul Rahim juga dilaporkan memberi amaran kepada mereka yang mencabar kontrak sosial di negara ini.

"Dia hanya berselindung di belakang jabatan lain seperti unit perhubungan awam dan pekerja universiti.

"Kerana seperti yang anda lihat, dia hanya tampil bila ada orang menyokong dia," katanya Wong.

Wong berkata, Abdul Rahim sehingga kini gagal untuk berbincang dengannya.

"Dia hanya berdiri di belakang unit lain seperti Unit Komunikasi Korporat dan di belakang kakitangan.

"Sebab kamu hanya nampak dia menunjukkan dirinya bila ada orang menyokong dia. Tetapi dia tidak respon kepada kenyataan beberapa persatuan seperti Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas Universiti Malaya (Pekerti) dan juga UM Law Society."

"Dia perlu menjelaskan dirinya jika merasakan dia bukanlah seperti apa yang dituduh dan diperkatakan oleh saya," katanya.

Wong bercakap kepada pemberita selepas mengambil sijil graduasinya daripada pihak universiti setelah tertangguh selama dua hari.

Beliau ditemani wakil guamannya, Asheeq Ali Sethi Alvi yang menggelar UM sebagai "penipu" kerana mendakwa tidak menahan sijil tersebut daripada diberikan kepada anak guamnya.

Wong mendakwa pihak universiti menghalang dirinya daripada memasuki laman web UM sekali gus tidak dapat mengakses transkrip akademiknya.

"Saya cuba untuk mendaftar masuk ke akaun saya tetapi dinafikan akses sedangkan kawan-kawan saya pula dibenarkan," katanya.

Lihat Komen