malaysiakini logo
story-image
ADS

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy menjadi ahli politik Malaysia pertama yang disaman fitnah oleh pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

Zakir memfailkan writ saman tersebut melalui firma guaman Messrs Akberdin & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu, 16 Oktober.

Apabila dihubungi, peguamnya Akberdin Abdul Kader mengesahkan bahawa salinan pernyataan tuntutan telah diberikan kepada Ramasamy pagi ini.

Tambahnya, lebih banyak saman boleh dijangka minggu depan terhadap Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy, dan bekas duta Dennis J Ignatius.

Pada 19 Ogos, Zakir melalui penasihat undang-undangnya telah mengemukakan surat tuntutan maaf kepada Ramasamy dan tiga yang lain, serta menawarkan jumlah penyelesaian munasabah dalam tempoh 48 jam atau mereka akan berdepan risiko disaman fitnah.

Tiga yang lain ialah Charles, Satees, dan Dennis.

Pada Ogos, peguam Zakir juga mengemukakan surat tuntutan kepada Kulasegaran berhubung kenyataan menteri itu yang dikatakan berunsur fitnah terhadap ucapan Zakir di Kelantan.

Berdasarkan salinan tuntutan tersebut, Zakir meyaman Ramasamy atas empat pernyataan yang dikatakan mengandungi fitnah, yang dibuat antara 10 April 2016, 1 Oktober 2017, 11 Ogos dan 20 ogos 2019.

Dalam pernyataan pertama yang dikatakan mengandungi fitnah pada 10 April 2016, Ramasamy dikatakan memfitnah Zakir melalui satu hantaran Facebook.

Tuduhan kedua pula adalah terhadap artikel pada 1 Oktober 2017 berjudul “Is Malaysia harbouring alleged fugitive Zakir Naik?” disiarkan di portal Free Malaysia Today (FMT).

Tuduhan ketiga pula adalah terhadap kenyataan pada 11 Ogos tahun ini melalui satu artikel berjudul “Naik should not question loyalty of Hindus in Malaysia” disiarkan oleh FMT.

Ramasamy turut dikatakan memfitnah Zakir melalui satu rakaman temu bualnya bersama media India, India Today pada 20 September tahun ini, yang disiarkan di Youtube.

Zakir mendakwa kenyataan Ramasamy didorong oleh niat jahat, kebencian, iri hati, hasad, dan dibuat tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada plaintif.

Dengan menyiarkan pernyataan tersebut, kata plaintif, defendah telah secara nyata merujuk plaintif sebagai orang yang berpewatakan jahat dan menjadi ancaman kepada keamanan, kedamaian, dan keharmonian negara.

Plaintif mendakwa bahawa kenyataan-kenyataan berkenaan adalah tidak berasas, tidak benar, fabrikasi, palsu, keseluruhannya direka-reka, diubah dan cenderung untuk mencapai agenda defendan.

Zakir mendakwa kenyataan itu bertujuan membangkitkan kemeluatan, niat jahat, kebencian orang awam terhadap plaintif, dan dibuat bagi mendapatkan publisiti murahan, dan sanjungan buat defendan.

Ia juga, kata Zakir, telah mendedahkannya kepada bahaya secara fizikal, mental, emosi dan psikologi.

“Dengan menerbitkan pernyataan fitnah tersebut, defendan juga telah menghasut, menyerang, dan menimbulkan sensitiviti kaum, agama dan etnik di kalangan rakyat Malaysia pada umumnya.

“Defendan telah secara salah memetik kata-kata plaintif di luar konteks, sedangkan plaintif sebenarnya memuji Malaysia kerana tulus dan bijaksana dalam melayani dan menegakkan hak kaum minoriti (termasuk, tetapi tidak hanya terhad kepada penganut Hindu), selaras dengan prinsip Islam, sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan India terhadap kaum minoritinya.

“Defendan telah secara sengaja mengambil kata-kata plaintif di luar konteks dengan harapan untuk memberi kemudaratan kepada plaintif, inter alia (antara lain) bagi tujuan politiknya,” kata tuntutan yang bertarikh 16 Oktober itu.

Plaintif memohon injunksi mandatori untuk memaksa Ramasamy mengeluarkan pernyataan-pernyataan fitnah tersebut daripada laman sesawang dan sosial media yang berkaitan.

Plaintif turut memohon injunksi kekal untuk menghalang defendan daripada menerbitkan, mengedarkan dan memuat naik sebarang kenyataan fitnah di mana-mana medium.

Zakir meminta permohonan maaf daripada Ramasamy untuk disiarkan di laman Facebook defendan, selain media termasuklah akhbar Berita Harian, Sinar Harian, The Star, Free Malaysia Today (FMT), Sin Chew Daily, Tamil Nesan, dalam masa tujuh hari daripada tarikh perintah tersebut.

Plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan termasuklah faedah atas jumlah penghakiman sebanyak lima peratus setahun dikira dari tarikh pemfailan writ sehinggalah penyelesaian penuh, kos, dan sebaran relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 22 Ogos, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir akan terus tinggal di Malaysia, biarpun berdepan desakan daripada beberapa pihak dalam PH agar pendakwah itu diusir.

Lihat Komen