malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam dakwa harga 'goodwill' dicadang Mohd Zaid, bukan Isa Samad
ADS

Perbicaraan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah terhadap bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Samad melibatkan RM3 juta terus menjadi tumpuan pada pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation (FIC) Mohd Zaid Abdul Jalil.

Dalam perbicaraan hari kelapan hari ini, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, peguam bela Salehuddin Saidin mendakwa harga 'goodwill' dicadangkan oleh Mohd Zaid yang juga merupakan saksi ke-15.

Ketika pemeriksaan balas, Salehuddin mendakwa bahawa Mohd Zaid bertanggungjawab mencadangkan kepada Felda Investment Corporation (FIC) untuk membayar RM160 juta bagi pengambilalihan Hotel Merdeka Palace dengan mengambil kira 'goodwill' walaupun nilai pasaran hotel ditetapkan kepada RM153 juta sahaja.

Salehuddin turut berkata keterangan Mohd Zaid pada Rabu, yang menyatakan bahawa Isa memintanya untuk menetapkan harga hotel kepada RM160 juta, iaitu RM7 juta lebih tinggi daripada harga pasaran dengan mengambil kira 'goodwill' (nama baik) hotel tersebut di Kuching, Sarawak.

"GAP (Gegasan Abadi Properties) pemilik hotel Merdeka membuat tawaran RM165 juta, dalam surat bertarikh 28 Mac 2014 dan meminta FIC untuk mengambil kira 'goodwill' walaupun FIC terang-terang tolak pembelian hotel tersebut ketika harga nilai pasaran RM137 juta sebelum itu.

"Kamu yang terima surat GAP bagi pihak Isa. Kamu yang jumpa Isa dan menjelaskan kandungan surat. Pengerusi (Isa ketika itu) tidak membaca surat itu. Jadi, 'goodwill' itu strategi kamu untuk menaikkan harga hotel kepada RM165 juta. Setujukah?" soal Salehuddin.

"Tidak setuju," jawab Mohd Zaid.

Salehuddin juga mendakwa bahawa Mohd Zaid berbohong di mahkamah dan sengaja membuat rekaan mengatakan Isa yang minta meletakkan harga lebihan RM7 juta seperti terdapat dalam keterangan Mohd Zaid.

"Tiada dokumen menunjukkan penglibatan Mohd Isa selain keterangan oral (lisan) kamu. Jadi, kamu yang cuba melibatkan Isa? Setuju?

"Tidak setuju," balas Mohd Zaid sambil menaikkan suara sebagai tanda tidak puas hati dengan soalan tersebut.

Terdahulu, pada Rabu Mohd Zaid memberitahu mahkamah bahawa Isa memaklumkan beliau bahawa adalah wajar untuk meletakkan RM160 juta, iaitu RM7 juta lebih tinggi daripada nilai pasaran RM153 juta disediakan oleh FIC selepas mengambil kira nama hotel itu yang telah lama dikenali di situ.

"Sebaik sebelum mesyuarat kesepuluh lembaga pengarah bermula, saya telah dipanggil Isa untuk ke biliknya. Ketika itu, dia maklumkan untuk mengekalkan harga pengambilalihan hotel pada nilai RM160 juta," kata Mohd Zaid ketika membaca penyataan keterangan.

Tambahnya, dia kemudian bertanya tentang justifikasi lebihan RM7 juta itu dan Isa berkata "kita perlu mengambil kira 'goodwill' (nama baik) iaitu nama Merdeka Palace Hotel & Suites telah lama diguna pakai dan dikenali di Kuching".

Salehuddin dan Mohd Zaid sekali lagi betikam lidah selepas peguam bela itu mendakwa Mohd Zaid sering menukar versi keterangan.

"Kamu ada banyak versi. Sebab kamu sering tukar versi kamu sebab kamu bohong," kata Salehuddin.

Namun, sekali lagi tidak tidak puas dengan cadangan peguam, Mohd Zaid membalas tidak setuju dengan meninggikan suara serta menegaskan bahawa beliau tidak diberikan peluang untuk menjelaskan keterangan atau jawapan diberikan semasa pemeriksaan balas.

Mahkamah disambung pada Isnin depan selepas kedua-dua pihak pendakwa raya dan peguam bela meminta tidak mengadakan perbicaraan sesi petang hari ini.

Hakim Mohd Nazlan juga memberikan perintah mahkamah kepada Mohd Zaid agar tidak berjumpa pihak kepentingan dalam perbicaraan ini termasuk SPRM sehingga tamat pemeriksaan semula oleh pihak pendakwa raya pada Isnin.

Lihat Komen