malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Husam cadangkan Kelantan lantik Md Alwi TMB kedua
ADS

Selepas Md Alwi Che Ahmad, melepaskan jawatannya sebagai ketua pembangkang, kerajaan PAS Kelantan disaran melantik Adun Umno itu sebagai timbalan menteri besar kedua atau exco kanan selaras dengan kedudukan baik kedua-dua parti.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, berkata Md Alwi sesuai dan layak untuk dilantik ke ke jawatan tersebut, sekali gus membuktikan kejayaan jalinan muafakat di antara Umno dan PAS.

"Dah letak jawatan sebagai pembangkang, kenalah lantik ke jawatan dalam kerajaan. Md Alwi memang berkelayakan, jawatan timbalan menteri besar pun dia layak.

"Inilah masa muafakat PAS dan Umno boleh buktikan kepada rakyat.

"Apa masalahnya kalau dilantik? Duit dah ada," katanya pada sidang media selepas menghadiri dan merasmikan mesyuarat Koperasi Padi Wangi Kelantan di Pasir Puteh, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Adun Kok Lanas itu yang meletak jawatan tersebut semasa sidangan DUN Kelantan berlangsung 15 Oktober lalu.

Md Alwi yang juga anggota jawatankuasa tertinggi Umno berbuat demikian selepas perbincangan dengan Majlis Tertinggi Umno susulan termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

Usah buang tapi tambah

Untuk rekod, kewujudan dua timbalan menteri besar bukan sesuatu yang asing kepada Kelantan kerana ia pernah berlaku pada 1990 lalu.

Ketika itu Abdul Halim Abdul Rahman dan Rozali Isohak dilantik menjadi timbalan kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Abdul Halim mengisi tempat itu sebagai wakil PAS, manakala Rozali sebagai wakil Semangat 46. PAS mula menguasai Kelantan melalui kerjasama dengan Semangat 46 - yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah - pada PRU kelapan.

Bagaimanapun kedudukan jawatan timbalan menteri besar kembali menjadi satu selepas Semangat 46 dibubarkan dan tidak lagi bersama PAS beberapa tahun kemudian.

Husam berkata pentadbiran kerajaan campuran dengan Umno itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana ia pernah dibuktikan ketika Semangat 46 masih wujud dulu.

Tidak cukup dengan Md Alwi, Husam yang juga anggota Dewan Negara itu menyarankan PAS melantik sekurang-kurangnya tiga Adun Umno untuk mengisi jawatan exco negeri.

Untuk memudahkan proses itu, Husam berkata, PAS tidak perlu menggantikan exco mereka yang sedang berkhidmat sekarang.

"Saya tak cadangkan exco sedia ada dibuang, tetapi bilangannya ditambah," katanya.

Menurut Husam Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah tidak perlu melepaskan jawatan kerana Md Alwi boleh dilantik sebagai timbalan kedua.

"Jadi, saya ucapkan tahniah kepada Datuk Md Alwi," katanya dengan nada berseloroh.

Lihat Komen