malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Masalahnya Najib pakai tiga topi, kata bekas CEO 1MDB
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM
ADS

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi di Kualal Lumpur hari ini diberitahu perubahan kuasa membuat keputusan daripada kerajaan persekutuan kepada perdana menteri dalam Memorandum dan Artikel (M&A) Pertubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dicadangkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low, seperti yang dikehendaki oleh Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Jho Low mencadangkan untuk memasukkan Artikel 117 dalam M&A 1MDB.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata, pindaan itu juga dilakukan atas nasihat antaranya, peguam dari Wong and Partners.

“Bagi pindaan itu, konteks menggantikan ‘kerajaan persekutuan’ dalam Artikel 9(a) dengan ‘perdana menteri’ dalam Artikel 117 datang daripada Jho Low. Ini apa yang Najib kehendaki untuk menjadikannya jelas,” kata Shahrol Azral.

Saksi kesembilan itu berkata demikian semasa disoal balas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada perbicaraan hari ke-24 kes bekas perdana menteri melibatkan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Peguam yang kendalikan adalah Brian Chia?

Shahrol Azral: Ya.

Apabila ditanya sama ada beliau mengetahui sama ada ia adalah keinginan Najib, Shahrol Azral menjawab: "Selepas itu, saya tidak pernah bertanya kepada Datuk Seri Najib”.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, saksi itu berkata ada perkara yang memerlukan tiga kelulusan Najib -- sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat (BOA).

“Masalahnya ialah lelaki yang sama (Najib) memakai tiga topi,” kata Shahrol Azral.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan timbalan pendakwa raya dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.

- Bernama

Lihat Komen