malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hanya pekerja asing sah sihat boleh kerja di Malaysia - Dr Dzulkefly
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM
ADS

PARLIMEN l Hanya pekerja asing yang disahkan benar-benar sihat dibenar masuk bekerja di negara ini dan mendapat Pas Lanjutan Kerja Sementara (PLKS) bagi mengelak penularan penyakit berjangkit yang mungkin disebabkan mereka, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly berkata bagi pekerja asing yang disahkan tidak sesuai bekerja kerana gagal dalam pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan, pihak majikan dikehendaki menghantar pulang pekerja itu.

"Sekiranya majikan gagal untuk berbuat demikian, PLKS untuk pekerja asing yang lain di bawah majikan berkenaan turut tidak akan diperbaharui oleh Jabatan Imigresen," katanya pada sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang ingin tahu langkah kerajaan bagi memastikan pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia benar-benar lulus pemeriksaan kesihatan yang diiktiraf oleh negara asal pekerja atau Malaysia.

Dr Dzulkefly berkata pekerja asing mestilah lulus pemeriksaan kesihatan yang diiktiraf oleh negara asal mereka terlebih dahulu dan dasar kementerian adalah untuk mengekalkan pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing ini dalam tempoh sebulan mereka tiba di Malaysia.

"Pekerja asing yang bekerja di Malaysia secara sah diwajib untuk menjalani pemeriksaan perubatan pekerja asing di klinik-klinik panel 'Foreign Workers' Medical Examination (FOMEMA) termasuk pemeriksaan X-ray dada dan pemeriksaan makmal.

"Melalui pemeriksaan ini pekerja asing akan disaring untuk penyakit Tuberkulosis (TB), HIV, malaria, Hepatitis B, leprosi (kusta), siflis, psikiatrik, kanser, penyalahgunaan dadah, kehamilan dan lain-lain penyakit seperti kencing manis (Diabetes Mellitus), darah tinggi dan kegagalan buah pinggang," katanya.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata sesetengah penyakit seperti HIV dan Hepatitis B mempunyai masa 'window period' (tarikh dijangkiti sehingga pengesanan antibodi) yang boleh berlaku dari dua minggu hingga ke beberapa bulan mahupun setahun dan lebih.

- Bernama

Lihat Komen