malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
30,000 polis, tentera berkawal pada hari Jokowi angkat sumpah
ADS

GLOBAL | Lebih 30,000 anggota polis dan tentera ditugaskan menjaga keamanan Jakarta semasa berlangsungnya majlis angkat sumpah Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) bagi penggal 2019-2024, Ahad ini.

Jokowi, 57, dijadual mengangkat sumpah di bangunan Parlimen Indonesia pada jam 2 petang dan bakal terus memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu untuk penggal kedua.

Penggal pertama Jokowi tamat pada 19 Okt ini.

Untuk penggal kedua ini, Jokowi akan bergandingan dengan pasangan barunya, Ma'ruf Amin, 76, sebagai naib presiden, selepas regu sebelum ini - Jusuf Kalla - tidak layak lagi bertanding pada pilihan raya baru-baru ini kerana telah cukup dua penggal menjawat jawatan itu.

Undang-undang pilihan raya Indonesia menetapkan presiden dan naib presiden hanya boleh menjawat jawatan itu maksimum 10 tahun atau dua penggal.

Jusuf, 77, adalah juga naib presiden semasa pemerintahan presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Naib Pengerusi Majlis Pewakilan Rakyat (MPR), Zulkifli Hasan, berkata majlis pelantikan presiden dan naib presiden itu akan turut dihadiri pemimpin dan ketua negara luar.

Katanya, setakat seramai 17 pemimpin asing - termasuk Dr Mahathir Mohamad - sudah mengesahkan kehadiran.

Sementara itu Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis Indonesia, Dedi Prasetyo, berkata seramai 31,000 anggota polis dan tentera akan mengawal kawasan sekitar bangunan parlimen di Jalan Gatot Soebroto, laluan atau jalan-jalan utama di Jakarta, kawasan Istana Medeka, serta kawasan-kawasan strategik semasa pelantikan itu berlangsung.

Katanya polis juga tidak mengeluarkan sebarang surat kebenaran atau permit untuk mengadakan demonstrasi bermula 15 Okt lepas, sehingga berakhirnya acara pelantikan itu pada Ahad ini.

Isu keselamatan dan ketenteraman awam menjadi fokus utama pihak polis sejak berlangsungnya pilihan raya umum Indonesia pada 17 April lepas, apabila berlaku beberapa insiden demonstrasi dan rusuhan selepas keputusan diumumkan pada 21 Mei lepas.

Beberapa kejadian demostrasi dan rusuhan sejak awal Okt oleh golongan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu yang membantah pindaan undang-undang berkaitan rasuah dan jenayah, serta kejadian seorang menteri Indonesia ditikam ketika menghadiri satu majlis bersama rakyat, mencetuskan kebimbangan akan tahap keselamatan pada hari pelantikan presiden itu nanti.

- Bernama

Lihat Komen