malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Pertikaian royalti Kelantan melarat sebab isu pokok tak selesai’
Diterbitkan:  Oct 16, 2019 8:20 PM
Dikemaskini: 12:20 PM
ADS

Pertikaian berkaitan isu royalti minyak Kelantan berpanjangan kerana persoalan pokok dalam isu itu tidak selesai di mahkamah, kata Zaid Ibrahim.

Bekas menteri undang-undang itu berkata, sejak dulu, isu berkaitan kedudukan telaga minyak sama ada dalam kawasan negeri atau pusat masih tidak selesai.

“Dulu tak dapat atas alasan tak layak kerana kedudukannya tak ditentukan. Sekarang pun saya rasa isunya masih sama.

“Sebab itu saya hairan kenapa sebelum ini Kelantan tarik balik saman,” kata anak Kelantan yang menyokong tuntutan royalti itu.

Katanya, undang-undang maritim antarabangsa menggariskan sebuah negeri itu berhak ke atas hasil minyak dan gas dalam lingkungan 12 batu nautika dari pantainya.

Kelantan sebelum ini merujuk kes itu ke mahkamah selepas mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dengan tidak membayar royalti bagi hasil di kawasan laut yang bertindih antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu.

Kes itu ditarik balik pada tahun lalu selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berjanji akan memenuhi permintaan negeri, yang sudah menuntutnya bertahun-tahun sejak era BN lagi.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Zaid berkata beliau tidak nampak cara lain untuk pertikaian itu diselesaikan kecuali di hadapan hakim.

Mengulas kenapa Terengganu tiada masalah ini, Zaid berkata tiada pertikaian berkaitan kedudukan telaga minyak di negeri itu sama ada dalam kawasan negeri atau pusat.

Walaupun dimasukkan terus ke akaun negeri, Kelantan menolak bayaran RM28 juta yang dibuat pada mereka sebagai royalti.

Mereka menuntut bayaran tertunggak lebih dari RM1 bilion dan membayangkan akan mengheret kembali isu itu di mahkamah, jika perlu.

Lihat Komen