Pengiklanan

    Usahasama 1MDB-PSI ‘kawan tolong kawan’, kata saksi

    (Dikemaskini )

    KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu projek usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) dianggap sebagai "kawan tolong kawan".

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada hari ke-23 perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.

    Muhammad Shafee: Jho Low beritahu kamu usahasama ini adalah sebagai “kawan tolong kawan?”

    Shahrol Azral: Dia beritahu saya usahasama ini dibuat atas dasar kawan tolong kawan.

    Muhammad Shafee: Dia membuat kesimpulan begitu? Saksi itu menjawab “ya".

    Sementara itu, Shahrol Azral memberitahu mahkamah urusan kewajaran berkaitan PSI hanya dibuat secara lisan sebelum usahasama diwujudkan dengan 1MDB.

    Saksi itu berkata urusan kewajaran berkaitan PSI tidak dinyatakan di atas kertas atau dibentangkan kepada ahli lembaga dana berkenaan.

    "Pada masa itu, kami faham bahawa kami perlu melaksanakan perjanjian G2G. Pada masa itu juga, saya percaya PSI adalah rakan yang boleh dipercayai, " katanya.

    Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih