malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar kongsi rahsia kekal kurus, bebas kencing manis
Diterbitkan:  Oct 16, 2019 4:51 PM
Dikemaskini: 8:53 AM
ADS

Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada ucaptama pada satu majlis di Kuala Lumpur hari ini mengimbas kembali pengalamannya di penjara selama lebih satu dekad berikutan hukuman salah guna kuasa dan liwat yang dijalaninya pada tahun 1999 dan 2015 yang lalu.

Menurut ahli politik berusia 72 tahun itu, beliau terpaksa melalui layanan yang dianggap tidak berperikemanusiaan dan keadaan yang menjatuhkan maruahnya semasa penahanan itu.

Paling tidak dilupakannya adalah beliau sering dihidangkan “ikan busuk” setiap masa.

“Sepanjang tiga setengah tahun itu (ketika dipenjarakan atas tuduhan liwat), daging hanya dihidangkan dua kali sahaja,” katanya seperti dipetik portal The Star Online.

Bagi minuman teh pula, presiden PKR itu berkata ia cuma disajikan tanpa susu dan gula.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan beliau melalui pengalaman itu secara positif dan menyifatkan makanan di penjara itu membantu dirinya yang kini kurus dan bebas daripada penyakit kencing manis.

“Dan saya baca banyak buku, saya luangkan masa dengan membaca, pada masa sama makan sedikit dan saya kekal sihat.

“Cuba duduk di penjara sementara,” katanya secara berseloroh sambil tersenyum.

Anwar dijatuhi hukuman penjara pada tahun 1999, selepas Dr Mahathir Mohamad pada penggal pertamanya sebagai perdana menteri memecatnya sebagai timbalannya.

Pemimpin PKR itu mendakwa pertuduhan liwat dan penyalahgunaan kuasa terhadapnya telah direkayasa oleh Dr Mahathir dan konco-konconya. Namun ini dinafikan oleh kerajaan ketika itu.

Anwar kemudiannya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini sudah dimansuhkan kerana mengetuai bantahan jalanan menentang Mahathir. Dia kemudiannya diheret ke mahkamah dan tampil dengan mata lebam.

Pada mulanya, Mahathir berkata kecederaan itu mungkin dilakukan sendiri tetapi Suruhanjaya Siasatan Diraja kemudian mendapati ketua polis negara ketika itu, Rahim Noor telah membelasah Anwar.

Mengimbas kembali insiden itu dalam satu temu bual tahun lalu, Mahathir meluahkan rasa marahnya dengan pihak polis keranatidak mendakwa Anwar.

“Saya marah pihak polis kerana apabila saya tanya mengapa tidak dibawanya ke mahkamah. Pada mula, mereka tidak mahu beritahu saya. Kemudian baru saya tahu mereka telah pukulnya.

"Lepas itu (jika) kamu ke mahkamah (dengan Anwar yang bermata lebam) kamu tahu apa akan jadi, tetapi saya tetap dengan pendirian mahu mereka ke mahkamah,” katanya.

Rahim kemudiannya meletak jawatan, tetapi dilantik oleh pentadbiran Mahathir sebagai fasilitator untuk perundingan damai di selatan Thailand tetapi ini dibantah oleh anak Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah.

 

Pada 2015, Anwar dipenjarakan sekali lagi, kali ini semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak, selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sekali lagi, pemimpin PKR itu mendakwa bahawa pertuduhan berkenaan adalah palsu dan didalangi oleh seteru politiknya.

Beliau kemudian dibebaskan dari penjara pada 16 Mei tahun lalu selepas menerima pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong susulan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen