Pengiklanan

    Hubungan peribadi Najib, Raja Abdullah wujudkan usahasama 1MDB-PSI

    (Dikemaskini )

    KES 1MDB NAJIB l Projek usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) diwujudkan atas hubungan peribadi antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Almarhum Raja Arab Saudi, Abdullah Abdulaziz Al Saud, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini diberitahu.

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau mengetahui perkara itu daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

    Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-23 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.

    Muhammad Shafee: Daripada siapa, kamu mengetahui perkara ini (usahasama antara PSI dan 1MDB diwujudkan atas hubungan peribadi Najib dan Raja Abdullah)?

    Shahrol Azral: Jho Low memberitahu saya bahawa usahasama antara PSI dan 1MDB itu diwujud atas hubungan peribadi antara Najib dan Raja Abdullah.

    “Jho Low memberitahu saya, dia turut berada di atas kapal layar semasa perbincangan dijalankan. Dia menyebut terdapat perbincangan di atas kapal layar semasa satu daripada percutian mereka.

    Muhammad Shafee: Apa maksud kamu tentang peribadi? Adakah kamu maksudkan hubungan peribadi Najib dengan pemerintah Arab Saudi akan membantu usahasama antara 1MDB and PSI?

    Shahrol Azral: Saya ingin menegaskan usahasama itu dicipta atas hubungan peribadi ini.

    Kepada soalan lain, saksi itu bersetuju bahawa sebagai ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika itu, beliau sepatutnya memastikan usahasama itu dilaksanakan dan menyediakan butiran kerjasama.

    Ditanya sama ada beliau memberi perhatian bahawa wang RM4.3 bilion dalam akaun 1MDB digunakan untuk tujuan yang baik, Shahrol Azral berkata, "ia untuk tujuan yang baik kerana ia adalah antara Kerajaan dan Kerajaan ('G2G').

    Ketika ditanya sama ada beliau mengandaikan tidak terdapat tawaran lebih rendah, gambaran salah, tiada penipuan kerana ia adalah G2G, saksi itu menjawab, “Ya…ini telah dikemukakan kepada saya sebagai sesuatu yang peribadi antara Najib dan Raja Abdullah”.

    Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, manakala Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih