BERITA

Saksi: Isa kata Najib arah keputusan tolak pembelian hotel dikaji semula

B Nantha Kumar

16 Okt 2019, 7:32 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Selepas ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdb Bhd (FIC) menolak cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, Pengerusi Felda Mohd Isa Samad mengarahkan keputusan itu dikaji semula, kata saksi Mohd Zaid Abdul Jalil.

Zaid yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif FIC berkata, Isa memberitahu bahawa arahan itu datang daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

"Kira-kira dua minggu selepas surat daripada FIC kepada (pemilik hotel) Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd bertarikh 28 Feb 2014, saya dapat panggilan daripada Isa dan dia arahkan saya kaji semula cadangan pengambilalihan hotel itu.

"Dia beritahu saya perdana menteri minta untuk kaji semula kertas cadangan pengambilalihan hotel bagi membantu aktiviti politik di Sarawak," katanya yang merupakan saksi pendakwaan ke-15, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, panggilan telefon Isa selepas mesyuarat lembaga pengarah FIC pada 26 Feb 2014 yang memutuskan pembelian hotel itu tidak berdaya maju dan tidak menguntungkan FIC.

Semalam, saksi ke-13 pendakwaan Wong Siew Yeen berkata lembaga pengarah FIC sebulat suara setuju dengan pembelian hotel itu selepas cadangan dibentang semula.

Pembentangan semula itu dibuat dalam mesyuarat lembaga pengarah bertarikh 29 April 2014, iaitu beberapa hari selepas lembaga pengarah memutuskan sebaliknya.

Dalam mesyuarat itu, katanya, Isa sekali lagi berkata Najib meminta ahli lembaga pengarah mengkaji semula pengambilalihan hotel itu.

"Sebelum saya bermula bentang kertas cadangan pengambilalihan semula, Isa memaklumkan kepada semua lembaga pengarah FIC bahawa perdana menteri minta kaji semula pengambilalihan hotel.

"Tiada sebarang pertanyaan ataupun bantahan daripada kalangan lembaga pengarah ketika itu," katanya lagi.

Zaid yang juga bekas pengarah FIC berkata lagi, pada 18 April 2014 dia menerima tawaran baru daripada Gegasan Abadimelalui sepucuk surat.

"Surat itu antara lain menyebut tawaran untuk FIC membeli hotel itu pada harga RM165 juta," katanya.

Katanya lagi, surat itu juga memaklumkan Gegasan Abadi dalam usaha membayar balik sejumlah RM40 juta kepada syarikat usahasama hotel itu, Jang Pte Ltd di SIngapura, selain penilaian pada 1999 yang menyebut hotel itu bernilai RM190 juta.

Namun pada 22 April 2014, katanya lagi, FIC menerima sepucuk surat lagi daripada Gegasan Abadi yang menurunkan harga hotel itu daripada RM165 juta kepada RM160 juta.

Pada 8 Oktober lalu, seorang lagi saksi Azlan Mohamed Ismail dalam keterangannya berkata, penilaian semula hotel itu pada 2017 menunjukkan pembelian dibuat melebihi nilai sebenar.

Menurut pengurus kanan kewangan FIC itu, penilaian semula oleh syarikat CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd menganggarkan nilai semasa Merdeka Palace Hotel & Suites pada kadar RM80 juta.

Terdahulu, Isa mengaku tidak bersalah atas kes yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen