malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Tak tetap masa peralihan tak jejas pelaburan’
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berpendapat ketiadaan jangka masa khusus dalam peralihan jawatannya tidak memberi kesan pada pelaburan.

Jelasnya, pelaburan dilihat masih ada sehingga kini.

“Saya tidak tahu. 

"Bagi saya semua OK dan ada yang melabur sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media forum Yayasan Sejahtera 2019 sempena hari antarabangsa pembasmian kemiskinan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan anggota parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkata ketiadaan jangka masa khusus itu menimbulkan keraguan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing.

Tambah Khairy, hal itu menyebabkan pelabur berkira-kira untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

Kata bekas menteri itu, keadaan yang dialami mendorong kadar pelaburan swasta pada separuh pertama tahun ini menurun 1.9 peratus.

Mengikut perancangan, Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar ibrahim, namun tiada masa yang khusus dinyatakan untuk proses peralihan tersebut.

Mahathir beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa beliau akan melepaskan jawatan tersebut kepada Anwar.

Sementara itu, Mahathir yang berucap pada forum yang dihadirinya itu berkata sebuah negara tidak boleh dianggap maju jika rakyat masih tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas.

“Pengalaman telah mengajar kita bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak akan seiringan dengan pembangunan (rakyat) untuk semua.

“Sebuah negara tidak boleh menganggap dirinya maju jika beberapa segmen masyarakatnya tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas, tidak mempunyai pekerjaan yang dapat memberi mereka pendapatan yang mencukupi atau menganggur dan tidak mempunyai akses kepada aset produktif,” katanya.

Jelasnya, ini turut antara sebab Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dilaksanakan.

“Atas sebab-sebab ini kami melancarkan model ekonomi baru Malaysia WKB2030 kerana kami percaya akan membolehkan semua rakyat Malaysia terus mempunyai kehidupan yang stabil tanpa mengira semua lapisan masyarakat,” katanya.

Lihat Komen