malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Mereka dah kalah, hormati mandat PH, jangan guna jalan belakang’
ADS

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke memberi amaran kepada pemimpin parti politk yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu supaya tidak cuba bertindak mengucar-kacirkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Sambil menjadikan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein sebagai sasarannya, Loke berkata, pembangkang perlu menghormati mandat yang diberikan rakyat kepada PH.

"Rujuk kepada kenyataan bersama ahli PH semalam.

"Mereka dah kalah, kita diberi mandat untuk tadbir negeri sehingga akhir tempoh mandat.

“Itu kena hormat termasuk pembangkang yang kalah," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Pada sidang akhbarnya, Loke juga memberi amaran kepada anggota Parlimen Sembrong itu agar tidak menggunakan jalan belakang untuk menjadi anggota kabinet.

"Jangan lupa mereka (sudah) kalah jangan cuba guna jalan belakang untuk jadi anggota kabinet,” katanya.

Hishamuddin semalam, membidas tindakan PH yang mendakwa beliau mahu berkempen dan membawa idea kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Hishamuddin menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut dan tidak faham kenapa PH perlu mengeluarkan kenyataan rasmi.

Semalam, Majlis Setiausaha PH menggesa Hishammuddin dan rakan-rakannya menghentikan kempen mereka yang cuba mengetengahkan idea kerajaan tanpa DAP dan Amanah.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata, kecenderungan kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum adalah “politik usang” yang bercanggah sama sekali dengan politik “inklusif” yang dipelopori PH.

Kenyataan itu ditandatangani bersama empat setiausaha agung komponen PH iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Marzuki Yahya (PPBM), Anuar Tahir (Amanah) dan Anthony Loke.

Saifuddin berkata PH berpegang kepada muafakat yang dipersetujui PKR, PPBM, Amanah, dan DAP, dan kerjasamanya dengan Warisan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata presiden partinya, Anwar Ibrahim sudah mempunyai maklumat mengenai idea Hishamuddin dan membangkitkannya di Dewan Rakyat semalam.

"Kita telah sepakat dalam PH ini adalah polisi kerajaan yang mencerminkan kepelbagaian dalam negara kita.

"Dan gabungan kita telahpun bertahan sehingga hari ini tanpa ada sebarang major masalah," katanya.

Lihat Komen